Saturday, December 22, 2007

14. Pokok gergasi makan manusia


POKOK Venus Flytrap spesis yang menyamai tumbuhan aneh

ILUSTRASI kisah Carl Liche mengenai pokok gergasi.Orang Asli Mkodo di Madagascar serahkan anak gadis kepada tumbuhan aneh sebagai korban

MISTERI membabitkan rahsia hidupan alam yang amat menakutkan dan membingungkan itu bermula dengan sebuah kisah yang ditulis dalam akhbar 'South Australian Register' pada 1881.

Diceritakan pada 1878, seorang pengembara Jerman yang melawat Madagascar iaitu Carl Liche, sempat menyaksikan satu upacara menyeramkan yang dilakukan satu daripada puak Orang Asli di wilayah itu.

Pengembara itu menyaksikan puak Mkodo menangkap seorang daripada anak gadis kumpulan mereka dan 'diserahkan' kepada pokok gergasi yang aneh untuk dimakan sebagai korban!

Dia melihat bagaimana ahli kumpulan itu mengelilingi gadis terbabit sambil menujah lembing tajam ke arahnya dengan niat memaksa wanita malang itu memanjat tumbuhan gergasi berkenaan.

Tidak seperti tumbuhan biasa, pohon aneh yang menyerupai pokok nanas gergasi itu kelihatan menyeramkan dengan bahagian jambul di atasnya dipenuhi jalur hijau seakan sesungut sotong kurita yang mengelilingi takungan berisi cecair tertentu.

Apabila gadis itu sampai di bahagian atas tumbuhan berkenaan, dia dengan berat hati dipaksa meminum cecair yang bertakung di atas pohon berkenaan.

Serentak itu, dengan tiba-tiba tumbuhan berkenaan kelihatan hidup dan bergerak-gerak.

Sesungut hijaunya dengan rakus membelit jasad gadis berkenaan menyebabkan dia menjerit lantang bagi menzahirkan ketakutan yang teramat.

Terkejut dengan situasi itu, Liche menulis gambaran berkenaan dengan ayat berikut:

"Pohon kanibal kejam, yang tadi kelihatan tidak bergerak seolah-olah mati, tiba-tiba menjadi hidup dan mengganas. Sesungutnya yang halus dan kemerahan merayap seumpama ular yang lapar di kepala gadis berkenaan.

"Kemudian, seolah-olah tumbuhan itu mampu berfikir dengan bijak, ia mula membelit kuat tangan dan leher gadis itu. Jeritan ketakutan gadis itu disambut satu bunyian pelik seolah-olah ketawa kejam daripada tumbuhan itu.

"Sesungut tumbuhan itu - satu demi satu yang kelihatannya seperti ular hijau - dengan tenaga yang kuat dan kelajuan yang dahsyat, menjalar sehingga membalut tubuh gadis itu dengan ketat dan kejam seperti ular anakonda yang membelit mangsanya."

Sebaik kisah itu dipaparkan akhbar terbabit, tanda tanya segera tercetus di kalangan ramai pihak berhubung kewujudan tumbuhan aneh yang diceritakan itu.

Lebih membingungkan adalah kisah berhubung tumbuhan misteri yang memakan manusia tidak tertera menerusi kisah berkenaan saja tetapi turut didapati dalam pelbagai kisah legenda di beberapa negara lain antaranya di Amerika Syarikat dan Mexico.

Beberapa tahun kemudian iaitu pada 1924, bekas Gabenor Michigan, Chase Osborn, dalam buku tulisannya bertajuk 'Madagascar, Negeri Pohon Yang Memakan Manusia' mengesahkan kewujudan tumbuhan karnivor berkenaan malah menyatakan bahawa puak Mkodo serta mubaligh yang pernah melawat wilayah itu mengetahui akan wujudnya pohon aneh itu.

Beberapa kenyataan pengesahan itu semakin membingungkan ramai pihak. Fakta yang diketahui ramai adalah tumbuhan tidak mampu bergerak secara bebas dengan sendirinya, apatah lagi untuk memakan dan menelan hidupan lain.

Benarkah wujud tumbuhan karnivor yang mampu bergerak sendiri dan memakan manusia dengan ganas dan kejamnya seperti diceritakan dalam kisah berkenaan?

Keinginan yang membuak-buak bagi mendapatkan jawapan kepada teka-teki berhubung misteri alam itu menyebabkan penyelidik mula meneroka jauh ke dalam hutan di pelbagai pelusuk dunia bagi mencari tumbuhan karnivor terbabit.

Ekspedisi dan pencarian bertahun-tahun akhirnya menemui jawapan yang menggemparkan - tumbuhan yang memakan hidupan lain sememangnya wujud!

Penemuan mengejutkan itu menyebabkan penyelidik biologi terkemuka, Charles Darwin menghabiskan masa selama 15 tahun untuk mengkaji tumbuhan berkenaan yang kemudian dikenali dengan nama saintifik 'insectivores'.

Kajian mendapati, tidak seperti tumbuhan lain yang memperoleh 'makanan' mereka dengan menyerap mineral daripada tanah, tumbuhan karnivor memerangkap haiwan serta serangga dan memakan mereka bagi mendapatkan nutrien.

Tumbuhan jenis ini dapat bergerak dengan sendirinya dan menggunakan pelbagai kaedah untuk memerangkap mangsa mereka.

Tumbuhan 'venus flytrap' atau nama saintifiknya 'Dionaea muscipula' misalnya kelihatan seperti bulatan dedaun kecil di tanah. Di hujung daunnya terdapat bentuk seakan mulut bergigi dan apabila serangga mendarat di atas 'mulut' itu, ia akan pantas tertutup bagi memakan serangga berkenaan. Sebaik tertutup, cecair tertentu segera terhasil bagi melarutkan jasad serangga berkenaan.

Selain venus flytrap, terdapat pelbagai lagi spesies tumbuhan karnivor malah antara tumbuhan karnivor terbesar adalah 'nepenthes' yang banyak tumbuh di Asia Tenggara dan memerangkap serangga, katak dan haiwan sebesar tikus untuk dimakan.

Bagaimanapun, pencarian penyelidik selama bertahun-tahun termasuk di Madagascar masih tidak menemui sebarang tumbuhan karnivor gergasi yang memakan manusia dengan ganas dan kejamnya seperti digambarkan dalam kisah Carl Liche itu.

Tanpa penemuan memberangsangkan, penyelidik termasuk penulis sains, Willy Ley, berpendapat bahawa kisah Carl Liche seperti tertera dalam akhbar South Australian Register itu hanyalah rekaan semata-mata.

Tiada pohon yang memakan manusia di Madagascar, tiada puak Mkodo ditemui di situ malah pengembara Jerman bernama Carl Liche juga didapati tidak pernah wujud di dunia ini.

Mungkin penulis kisah berkenaan mendapat idea selepas melihat bagaimana tumbuhan itu memakan serangga dan kemudian berfantasi kononnya serangga itu adalah manusia.

Walaupun tumbuhan yang memakan manusia dengan ganas dan kejam tidak pernah ditemui melainkan tumbuhan karnivor yang memakan serangga dan haiwan kecil, cerita momokan mengenai tumbuhan ganas itu terus popular sehingga kini sehingga ia kerap diadaptasikan dalam pelbagai karya fiksyen, novel dan filem termasuk 'Jumanji'.

No comments: