Sunday, December 16, 2007

4. Mitos orang kenit cetus kekeliruan


MAKHLUK kenit sepanjang 7.2 sentimeter yang ditemui di Chile pada 2002.

JENGLOT dikatakan antara spesies makhluk kenit.


BENARKAH orang kenit wujud? Persoalan itu sering difikirkan tatkala mendengar kisah makhluk berkenaan dalam cerita dongeng di merata dunia.

Orang kenit digambarkan sebagai makhluk seakan-akan manusia tetapi bersaiz amat kecil; mungkin sekecil semut atau sebesar tikus tetapi yang nyata ia amat kecil berbanding manusia.

Mengikut kisah dongeng, orang kenit kerap menyembunyikan diri daripada manusia kerana takut dicederakan atau menjadi mangsa manusia yang berganda lebih besar daripada mereka.

Bagaimanapun, seperti juga persoalan sama ada wujud gergasi, teka-teki mengenai kewujudan orang kenit terus kekal misteri yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Adakah ia sememangnya wujud sebagai satu daripada spesies hidupan misteri yang masih belum ditemui manusia atau sekadar makhluk khayalan dalam kisah dongeng? Persoalan orang kenit nyata masih membingungkan.

Ketika minda kebanyakan kita lebih menjurus memikirkan orang kenit tidak wujud dan hanya kisah dongeng, satu penemuan menggemparkan dilaporkan di Indonesia sekitar 1970-an.

Ketika melihat bentuk fizikal 'Jenglot' yang amat kecil, banyak pihak mula beranggapan itulah orang kenit yang sering diceritakan sebelum ini. Lalu mereka mula yakin bahawa orang kenit sememangnya wujud dan buktinya adalah Jenglot.

Bagaimanapun saintis akhirnya membuktikan bahawa Jenglot bukanlah spesies hidupan tetapi lebih berupa 'patung' yang diperbuat daripada cantuman bangkai haiwan.

Ia sekali gus mengubah tanggapan ramai pihak dan mereka kembali ragu untuk mengesahkan bahawa orang kenit itu wujud.

Bagaimanapun, misteri berhubung makhluk itu kembali membingungkan apabila satu lagi bukti dikatakan ditemui di Chile pada Oktober 2002 apabila seorang kanak-kanak dikatakan menemui spesies makhluk kenit ketika bercuti bersama keluarganya di Concepcion iaitu sebuah bandar di Selatan negara itu.

Makhluk yang fizikalnya seakan manusia itu cuma sepanjang 7.2 sentimeter dan memiliki kepala besar, dua tangan dengan kuku panjang serta dua kaki kecil.

Makhluk itu ditemui dalam semak oleh kanak-kanak berkenaan. Sebaik melihat makhluk kenit aneh berkenaan, kanak-kanak terbabit memungut dan membalutnya dengan kertas sebelum dibawa pulang.

Kanak-kanak itu, Julio Carreno, mendakwa yang makhluk terbabit hidup selama lapan hari selepas ditemui. Selepas tempoh berkenaan, akibat sebab tertentu, ia tidak lagi dapat membuka matanya.

Menyangka makhluk itu sakit, Julio dan keluarganya membawa orang kenit itu berjumpa doktor haiwan untuk menjalani pemeriksaan. Akan tetapi sebaik menunjukkan makhluk berkenaan kepada pengamal perubatan, doktor yang ditemui nyata tergamam kebingungan.

"Doktor hairan melihat makhluk ini; dia memberitahu kami yang makhluk ini amat pelik dan dia tidak tahu apakah ia sebenarnya," kata Julio.

Tidak lama kemudian, makhluk itu mati. Bagaimanapun sesuatu yang pelik mula berlaku. Selepas beberapa hari tidak bernyawa, jasad makhluk kenit itu mula mengering dengan cepat; ia terawet dengan sendiri sehingga menjadi seakan mumia.

"Ia bertukar warna sejak kami menemuinya. Pada asalnya ia lebih berwarna merah jambu tapi kini lebih gelap," kata kanak-kanak itu lagi.

Penemuan spesies makhluk aneh itu dengan cepat mencetuskan kegemparan di kalangan masyarakat termasuk wartawan yang mengunjungi rumah keluarga itu. Penyelidik turut datang untuk menjalankan kajian.

Di hadapan sekumpulan wartawan, Julio menunjukkan jasad mumia orang kenit itu. Dia mula membuka peti rawatan kecemasan dan seketika kemudian, kelihatan jasad makhluk aneh yang terawet terletak di atas kapas, di dalamnya.

"Makhluk apakah ini?" mungkin persoalan itulah yang bermain di minda mereka. Saiz kepala yang lebih besar daripada badan benar-benar menarik tumpuan. Kuku jari makhluk itu pula kelihatan agak panjang.

"Kuku itu seperti terus memanjang," kata-kata diucapkan kanak-kanak itu semakin membingungkan. Mana mungkin kuku hidupan yang sudah mati boleh terus memanjang?

Hampir keseluruhan fizikal makhluk itu kelihatan terawet seperti mumia. Jasadnya juga kelihatan rapuh dan mudah berkecai jika dipegang menyebabkan orang kenit itu diletakkan di atas kapas di dalam peti rawatan kecemasan.

Ada yang beranggapan kanak-kanak itu sudah menjumpai orang kenit yang selama ini hanya disebut dalam mitos dan cerita dongeng. Pihak lain mendakwa makhluk yang ditemui Julio itu adalah makhluk asing.

Beberapa penyelidik turut melakukan pemerhatian bagi membongkar misteri di sebalik spesies hidupan misteri itu. Bagaimanapun selepas menjalankan pemerhatian, mereka berasa skeptikal bahawa makhluk itu adalah orang kenit, makhluk asing atau sejenis spesies hidupan misteri yang masih belum ditemui di dunia ini.

Sebaliknya, pengkaji termasuk dari Universiti of Chile beranggapan makhluk itu mungkin fetus sejenis hidupan liar seperti kucing hutan.

Pengkaji dari Universiti of Sonto Tomas mengatakan ia adalah sejenis hidupan seakan tupai iaitu 'monito de monte' yang berasal daripada spesies mamalia kecil yang tinggal di hutan hujan Valdivian serta kerap menyembunyikan diri pada waktu siang. Penyelidik lain pula berpendapat bahawa makhluk itu adalah anak tikus kecil.

Bagaimanapun, pelbagai hujah daripada penyelidik itu hanyalah teori berasaskan pemerhatian luaran saja. Tiada kajian lanjut dilakukan menyebabkan penyelidik gagal mengenalpasti spesies haiwan sebenar berhubung makhluk kenit itu.

Ia sekali gus meninggalkan persoalan sama ada jasad makhluk itu adalah anak haiwan liar seperti kucing hutan, monito de monte dan tikus atau ia sememangnya orang kenit yang selama ini banyak diceritakan dalam kisah dongeng, kekal sebagai misteri.

sumber: http://www.mendhak.com/paranormal/ufo

No comments: