Sunday, December 16, 2007
5. Zombie wujud di Haiti
ZOMBIE menyerang manusia untuk memakan daging dan otak mereka.
Pengkaji Kanada bongkar ramuan rahsia pawang voodoo 'mematikan' dan 'hidupkan' mayat
TERDAPAT kepercayaan aneh di kalangan penduduk kepulauan Haiti bahawa jasad seseorang yang sudah mati boleh ‘dihidupkan’ menerusi upacara mistik tertentu.
Kaedah aneh itu dilakukan ahli sihir atau pawang yang mengamalkan ilmu hitam voodoo di negara terbabit dan selepas menjalani upacara mistik itu, mayat seseorang yang sudah mati akan kembali 'hidup' dan mampu bergerak.
Akan tetapi, mayat yang 'dihidupkan' itu tidak lagi mampu berfikir atau memiliki perasaan seperti manusia biasa. Fizikalnya juga kekal menyerupai jasad pucat tidak bernyawa dan ia bergerak perlahan bagaikan boneka atau robot yang dikawal pawang terbabit.
Bagaimanapun, kesahihan dan kaedah mistik bagi menghasilkan mayat hidup atau digelar 'Zombie' itu dirahsiakan pihak terbabit daripada pengetahuan umum menyebabkan ia terus menjadi misteri yang membingungkan pelbagai pihak.
Tanda tanya yang tercetus tatkala mendengar amalan misteri itu menyebabkan Zora Neale Hurston cuba menjejaki kesahihan kaedah mistik berkenaan di Haiti sekitar 1937. Akan tetapi usaha penulis Amerika Syarikat itu gagal apabila tiada sesiapa yang mahu membongkarkan rahsia amalan voodoo berkenaan kepadanya.
Apa yang diperoleh Hurston sepanjang pencariannya hanyalah sebuah cerita Zombie yang menghantui pulau berkenaan sekitar 1940-an:
Diceritakan pada 1907, seorang penduduk negara pulau itu iaitu Felicia Felix Mentor, meninggal dunia pada usia muda iaitu 29 tahun. Dia kemudian dikebumikan dan namanya mula lesap daripada ingatan penduduk Haiti sehinggalah 30 tahun selepas itu.
Penduduk di negara itu mula dikejutkan dengan peristiwa aneh lagi menyeramkan apabila ada antara mereka mendakwa melihat Mentor merayau-rayau dalam keadaan bingung di beberapa jalan di negara itu.
Penduduk berasa takut dan seram tatkala memikirkan yang Mentor sudah meninggal dunia sekitar 30 tahun lampau. Justeru bagaimana mayat yang sudah ditanam, kembali ‘hidup’ dan dapat merayau-rayau?
Kecewa dengan hasil pencariannya menyebabkan Hurston menulis dalam catatannya: "Jika sains dapat mengkaji sedalam-dalamnya rahsia amalan ilmu hitam voodoo di Haiti dan Afrika, pasti akan dijumpai rahsia penting dalam kaedah perubatannya (sehingga mampu membuatkan mayat kembali hidup) yang masih tidak diketahui sains perubatan moden. Voodoo memiliki kekuasaan tertentu yang nyata melebihi upacara semata-mata."
Beberapa dekad selepas kegagalan Hurston membongkar rahsia penghasilan mayat hidup itu, seorang lelaki, Clairvius Narcisse yang sudah diisytiharkan mati di Hospital Albert Schweitzer Deschapelles pada 2 Mei 1962, muncul secara tiba-tiba di sebuah kampung pada 1980.
Kehadiran Narcisse bersama bukti bahawa dia sudah meninggal dunia selama 18 tahun sebelum dibangkitkan seorang pawang voodoo mula menggemparkan penduduk dan penyelidik yang mula memikirkan bahawa upacara menghidupkan Zombie sememangnya wujud di pulau itu.
Kegemparan kembalinya Narcisse sebagai Zombie menyebabkan seorang ahli entobotani Kanada, Wade Davis menjejakkan kakinya di Haiti pada 1982 dengan harapan untuk membongkar kesahihan kewujudan Zombie.
Lelaki itu mula melakukan penyiasatan dan penyelidikan bagi membongkar kebenaran upacara rahsia bagi menghidupkan Zombie. Selepas lama menyelidik, akhirnya Davis tersenyum gembira, dia yakin yang dia sudah berjaya membongkar rahsia di sebalik cerita misteri Zombie yang menyelubungi pulau itu selama puluhan tahun.
Pemerhatiannya mendapati ahli sihir dan pawang di Haiti menggunakan ramuan khas dalam upacara voodoo termasuk bagi merawat penduduk yang cedera dan sakit. Seterusnya Davis mula mendapatkan lapan sampel ramuan itu daripada empat wilayah di pulau berkenaan untuk dikaji kandungannya.
Hasil kajiannya mendapati ramuan berkenaan yang diperbuat daripada campuran tumbuhan dan haiwan tertentu seperti labah-labah, cicak, ikan buntal, katak, selain tulang manusia menjadi punca kewujudan kisah Zombie.
Dia mendapati ramuan berkenaan mengandungi racun 'Tetrodotoxin' yang menyebabkan seseorang yang terkena bahan itu akan menjadi lumpuh, kelihatan seperti sudah mati dan menjadi mayat untuk suatu tempoh tertentu.
Keadaan itu menyebabkan keluarga pesakit menyangka penduduk berkenaan sudah meninggal dunia. 'Mayat' itu kemudian didatangi pawang yang kononnya melakukan upacara menghidupkan Zombie tetapi pada masa sama, kesan racun Tetrodotoxin mula hilang dan pesakit berkenaan kembali pulih daripada lumpuh.
Keadaan itu bagaimanapun kelihatan seperti pesakit terbabit kembali hidup selepas mati dan pawang berkenaan seolah-olah menjalankan upacara bagi menjadikan mereka Zombie.
Davis juga menjumpai satu lagi ramuan pawang di pulau itu yang menyebabkan seseorang yang terkena ramuan berkenaan menjadi kebingungan atau tidak berperasaan.
Kemungkinannya selepas pesakit terbabit kembali pulih daripada lumpuhnya, pawang berkenaan memberi ramuan kedua kononnya sebagai ubat yang menyebabkan pesakit tadi kelihatan tidak berperasaan seumpama mayat hidup.
Bagaimanapun, melewati masa, kepercayaan wujudnya Zombie sebagai jasad manusia yang sudah mati tetapi dihidupkan semula mula tersebar ke seluruh dunia dan momokan cerita seram itu menjadi popular dan diminati di pelbagai negara.
Ia mula diadaptasi ke dalam novel seram, permainan video sehinggalah pembikinan filem termasuk 'Resident Evil' yang ditayangkan di pawagam seluruh negara, baru-baru ini.
sumber: www.wikipedia.com, http://science.howstuffworks.com
FAKTA: Zombie
Momokan Zombie yang paling popular datangnya dari kepulauan Haiti.
Dikatakan mayat yang dihidupkan semula.
Zombie akan makan daging dan otak seseorang yang hidup. Mereka bagaimanapun bergerak dengan perlahan.
Selain kepulauan Haiti, kisah hantu Zombie atau mayat hidup turut terdapat dalam kepercayaan masyarakat China, Japan, India dan Amerika kuno.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment