Struktur lengkap kepala mamalia di Jelebu dikaitkan sumpahan Sang Kelembai ANTARA percaya atau tidak. Batu di air jeram berbentuk kepala gajah sebesar kepala trak lori, lengkap dengan mata, telinga, mulut dan belalai. Ada mitos mengatakan itu sumpahan, tetapi siapa yang menyumpah dan siapa yang kena sumpah, tiada siapa yang pasti. Ada yang percaya batu itu asalnya seekor gajah yang disumpah Sang Kelembai, watak cerita mitos pada zaman dulu kala.
Secara geografi dan logiknya, bentuk batu itu mungkin terjadi hasil hakisan air secara berterusan sejak ratusan tahun dulu dan secara kebetulan ia nampak seakan-akan gajah. Kedudukannya betul-betul di peringkat kedua jeram, di tempat air terjun mengalir. Batu istimewa itu boleh ditemui di Jeram Gajah, di Simpang Gelami, kira-kira lima kilometer dari pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Mungkin bagi penduduk tempatan, ia perkara biasa, tetapi bagi orang luar, kejadian ciptaan Tuhan itu cukup istimewa.
Menariknya, kepada gajah dewasa itu tanpa gading, mungkin terbenam dalam batu atau belum terbentuk, tetapi penduduk tempatan percaya ia ada kaitan dengan satu lagi jeram tidak jauh dari situ yang dinamakan Jeram Gading.
Namun, di Jeram Gading, pengunjung tidak akan menemui batu berbentuk seakan-akan gading dan tidak pasti bagaimana ia mendapat nama. Mungkin ia sudah terhapus atau kedudukannya gagal dikesan secara mata kasar. Apa yang pasti, ramai yang percaya, Jeram Gajah dan Jeram Gading adalah satu mitos dan kepercayaan lampau yang saling berkait kerana gajah dewasa diakui akan mempunyai gading.
Usaha Berita Minggu mendapatkan cerita lisan daripada penduduk kampung gagal kerana kebanyakan generasi yang ada sekarang tidak tahu bagaimana jeram itu mendapat nama dan beberapa individu yang dikatakan tahu mengenainya daripada nenek moyang mereka sudah meninggal dunia.
Tinjauan di Jeram Gajah mendapati, kedudukan batu kepala gajah itu boleh dilihat daripada dua sisi. Jika dilihat daripada sisi kiri, kelihatan seolah-olah kepada gajah sedang terbaring dengan matanya terbuka.
Air terjun di jeram kecil itu mengalir melalui belalai dan mulutnya, tetapi jika dilihat daripada sisi kanan, batu itu kelihatan seperti kepada seekor gajah yang berdiri, seolah-olah marah dengan telinganya agak kembang dan belalainya hampir menegak. Walaupun dilihat daripada dua sisi kiri dan kanan, kedudukannya mata tidak berubah dan tetap sepadan.
Mata gajah sebesar pinggan makan orang dewasa itu dikatakan sentiasa dipenuhi air dan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau. Anehnya, penduduk di situ hairan bagaimana air boleh masuk ke dalam lubang mata itu kerana kedudukannya lebih tinggi daripada laluan air terjun dan berada di laluan agak curam.
Logiknya, mungkin juga ia adalah air hujan. Jika pengunjung berminat untuk melihat lebih dekat lubang mata gajah itu, mereka perlu berjalan berhati-hati melalui tebing batu yang agak curam dan di tepinya adalah curang tinggi dianggarkan lebih lima meter. Ketika Berita minggu menjejakkan kaki ke tempat lubang mata gajah itu, kelihatan lubangnya dipenuhi daun pokok dan warnanya agak keruh berbanding atau di tempat lain. Walaupun kawasan jeram itu diakui mempunyai tarikan tersendiri, sayangnya ia terabai, dibiarkan tanpa sebarang usaha membersihkan kawasan atau menaik taraf sebagai kawasan tarikan pelancongan.
Ini kerana sepanjang perjalanan ke sana, kami terpaksa meredah laluan hutan yang agak semak, dipenuhi pokok tumbang dan pokok kecil yang menghalang laluan di trek pejalan kaki. Jaraknya daripada rumah penduduk yang paling hampir tidak sampai 800 meter, dan berjalan kaki ke sana cuma memakan masa kurang 10 minit. Kelihatan bekas longkang simen yang bersambung ke kincir air, bersebelahan batu berbentuk kepada gajah, dipercayai pernah digunakan penduduk untuk menyalurkan air ke sawah padi di beberapa kampung berdekatan. Kincir air itu sudah tidak berfungsi menyebabkan saliran airnya dialihkan ke arah kedudukan belalai gajah berkenaan. Beberapa batang paip juga terbiar begitu saja, berlumut dan ada antaranya yang hampir terbenam ke dalam tanah dan timbunan daun pokok.
Apa yang masih berfungsi cuma saluran paip getah yang dikatakan digunakan untuk menyalur air ke kolam ikan kendalian pihak seperti Jabatan pertanian yang terletak di bekas sawah padi. Kelihatan juga tali kabel yang melintasi sungai kecil itu menyambung antara dua tebing. Difahamkan, ia digunakan penoreh getah di sini untuk mengangkut hasil getah sekerap untuk dibawa keluar ke jalan kecil sebelum dijual. Sementara itu, penduduk sekitar Jeram Simpang Gelami sebenarnya sudah menghantar kertas cadangan kepada pihak berkuasa meminta Jeram Gajah dibangunkan kawasan tarikan pelancongan baru.
Malangnya, sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil. Perkara itu pernah disuarakan lima tahun lalu, bahkan pergerakan Pemuda Umno kawasan itu sendiri pernah mengadakan gotong royong membersihkan kawasan sebagai permulaan menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat rekreasi. Penduduk yang juga bekas Guru Besar, Syed Leod Syed Yusuf, 67, mengakui kawasan itu pernah menjadi tapak perkhemahan pelajar sekolah tetapi beliau kecewa kerana langsung tiada usaha membangunkan dilakukan di situ. “Kita pernah buat cadangan dan gotong royong oleh Pemuda Umno. Tetapi, sampai sekarang anda boleh lihat bagaimana keadaannya.
“Saya sendiri ketika masih berkhidmat sebagai guru pernah membawa kumpulan pengakap sekolah menjalankan aktiviti di situ, walaupun tidak bermalam, sekurang-kurangnya ia boleh dikunjungi,” katanya.
Apa yang disuarakannya itu memang benar kerana jika dilihat kepada keadaan semak samun dan kawasan hutan yang tidak terurus, ia pasti menakutkan orang ramai untuk ke sini kerana agak berbahaya jika terdapat binatang berbisa. Jika laluan motosikal dan pejalan kaki ke Jeram Gajah diperbaiki dan dibesarkan, sudah pasti pengunjung boleh membawa kenderaan terus ke kawasan jeram tanpa perlu berjalan kaki melalui kawasan semak dan kebun getah. Syed Leod yang juga Ketua Umno Cawangan menegaskan, jika kawasan itu dimajukan sudah tentu penduduk setempat akan mendapat faedahnya. “Jika kawasan itu terang, sudah tentu ramai pengunjung akan datang. Letakkan papan, besarkan laluan dan sediakan kemudahan sepatutnya. Kami cadangkan, sediakan kemudahan gerai untuk berniaga makanan dan minuman, sudah tentu penduduk di sini akan untung,” katanya.
Monday, June 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment