Tuesday, April 13, 2010

Misteri Etnik: Taraf hidup masyarakat Tatau jauh ketinggalan

Bekalan elektrik daripada generator 20 kuasa kuda disalur mulai jam 6 petang hingga 9 malam

SELEPAS beberapa hari bersama penduduk Rumah Panjang Jalong, satu-satunya rumah panjang didiami etnik Tatau di daerah Tatau, Sarawak, benarlah kata Tuai Rumahnya, Jalong anak Anyik, 62, bahawa kehidupan mereka masih ketinggalan.

Walaupun kedudukan rumah panjang 18 pintu (unit) dengan penduduk seramai 108 orang itu tidak jauh dari Pekan Tatau yang kini pesat membangun, sekitar 30 minit perjalanan menaiki bot, tidak banyak kemudahan asas dinikmati penduduknya.

Faktor itu mungkin disebabkan kedudukan dan persekitarannya. Jika jalan raya dibina semata-mata untuk ke rumah panjang itu, tentu tidak ekonomik kerana tiada sebarang hasil utama dikeluarkan dari kawasan berkenaan, melainkan kayu balak yang sememangnya diangkut keluar melalui sungai.

Bagaimanapun, di depan Rumah Panjang Jalong kelihatan juga beberapa kenderaan pacuan empat roda milik syarikat pembalakan, malah sebuah dua motosikal penduduk yang masuk ke kawasan itu melalui jalan balak yang sukar.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika jalan sungai tetap menjadi penghubung tradisi penduduk rumah panjang terbabit, mendapatkan bekalan makanan atau membawa hasil hutan dan tani ke pekan Tatau, jika tidak pun terus ke bandar Bintulu.
Mengenai kemudahan asas lain, rumah panjang itu menikmati kemudahan elektrik menerusi generator 20 kuasa kuda yang dihidupkan mulai jam 6 petang atau 7 malam hingga 9 malam setiap hari, kecuali ada majlis tertentu atau tetamu khas.

“Kami tidak boleh menghidupkan generator ini 24 jam atau lebih lama daripada biasa kerana tidak mampu menampung kos pembelian minyaknya yang agak mahal. Selama ini pun kami membelinya secara berkongsi.

“Ada juga di kalangan penduduk rumah panjang ini, termasuk saya yang mempunyai generator kecil sendiri, jadi boleh menghidupkannya pada waktu lain bagi mendapatkan sumber elektrik,” kata Jalong sambil melihat kipas syiling di ruang depan rumahnya berputar ligat yang dipasang kerana meraikan kehadiran penulis dan jurugambar.

Sekalipun menikmati sumber elektrik cuma beberapa jam sehari, penulis mendapati faktor itu tidak menghalang mereka memiliki pelbagai peralatan selaras dengan cara hidup moden, contohnya mesin basuh dan televisyen.

Apapun kekurangan yang terpaksa dilalui penduduk rumah panjang itu, Jalong dan anak buahnya akur dengan hakikat itu dan pada masa sama meneruskan usaha bagi mencapai taraf hidup lebih baik setanding kaum lain.

“Keadaan kami di rumah panjang ini macam inilah… sunyi. Sebahagian penduduk, terutama orang muda tidak tinggal di sini kerana mereka mencari pekerjaan di tempat lain atau di bandar. Ada juga yang bekerja di pejabat, tapi tidak ramai.

“Yang tinggal cuma sebahagian, kebanyakannya golongan tua dan kanak-kanak yang masih bersekolah. Ada juga seorang dua yang bekerja di kem balak tidak jauh dari sini dan yang lain pula masuk hutan memotong kayu belian.

“Penduduk rumah panjang ramai sedikit pada hujung minggu kerana pelajar yang tinggal di asrama harian balik. Mereka yang kerja jauh hanya akan balik sekali sekala atau pada hari perayaan, waktu itu memang sangat meriah,” katanya.
Suasana rumah panjang itu sunyi pada sebelah pagi kerana sebahagian penduduk yang ada keluar membuat kerja masing-masing, termasuk ke kebun atau mencari hasil hutan seperti sayur dan paku pakis untuk dijual.

Pendek kata, pekerjaan harian penduduk rumah panjang itu tidak menentu, yang mana mendatangkan rezeki akan dilakukan untuk memenuhi keperluan harian keluarga, contohnya menjala, menahan pukat atau memasang bubur udang.

Golongan perempuan pula, selain menguruskan rumah tangga, masa lapang turut diisi dengan melakukan pekerjaan berfaedah seperti menganyam tikar dan bakul sama ada daripada rotan atau bahan plastik untuk kegunaan sendiri.

Jalong berkata, pelbagai sumber diperoleh sama ada dari hutan atau sungai hanya untuk sara diri, jika ada lebih ia akan dijual di pasar tamu sama ada di pekan Tatau atau bandar Bintulu.

“Hidup kami agak susah. Secara purata pendapatan keluarga rumah panjang saya ini, kalau dapat RM100 sebulan pun sudah dikira sangat bagus.

“Kami mahu bekerja, tambahan pula anak muda rumah panjang ini ramai juga yang bersekolah setidak-tidaknya Tingkatan Lima, tetapi apa yang dapat kami lakukan selain mencari hasil hutan dan sungai.

“Untuk mencari pendapatan lebih, ramai anak muda terpaksa merantau mencari pekerjaan di tempat lain,” katanya sambil meminta pihak tertentu khususnya kerajaan melakukan sesuatu bagi meningkatkan taraf hidup suku kaumnya.

Ketika penulis memerhati beberapa wanita tua sedang menjemur buah tengelam dan engkabang di depan rumah panjang, Jalong menjelaskan ia turut menjadi sumber pendapatan sampingan anak buahnya.

Katanya, dua jenis buah yang dipungut gugur dalam sungai itu terlebih dulu dijemur supaya kering sebelum dijual kepada pembeli dengan harga sekitar RM1.60 sekilogram atau diproses menjadi minyak untuk kegunaan sendiri.

Beliau berkata, dua jenis buah itu bermusim, contohnya engkabang kadang kala empat atau lima tahun sekali baru berbuah dan harganya pula agak rendah berbanding kesukaran mengumpulnya ketika hanyut di sungai, selain pokok yang tumbuh meliar di tepi sungai itu agak kurang.

“Bagaimanapun, itulah antara sumber rezeki kami. Dulu ada juga penduduk mengusahakan tanaman lada hitam, tetapi sekarang tidak lagi kerana harganya juga agak rendah,” katanya.

Bagi menampung keperluan hidup keluarganya, seorang penduduk Rumah Panjang Jalong, Entri anak Lawi, 55, turut menggunakan kebolehannya menghasilkan pelbagai peralatan daripada kayu untuk dijual, antaranya papan menyiang ikan atau memotong sayur.

Untuk tujuan itu, beliau yang turut melakukan pelbagai kerja kampung menyediakan ruangan khas di belakang rumahnya bagi memproses pelbagai alatan daripada kayu itu sebelum ia dijual di pasar tamu di Bintulu.

Usaha dilakukan sejak beberapa tahun lalu itu membantu meningkatkan pendapatannya kerana setiap papan menyiang ikan atau memotong sayur dihasilkan dalam pelbagai bentuk itu, lazimnya mendapat sambutan.

“Saya jual papan ini dengan harga berbeza mengikut saiz. Pada peringkat awal, jualannya banyak, tetapi alat seperti ini bukan sekali pakai atau mudah rosak. Jadi permintaannya ada, tetapi semakin menurun,” katanya



Pelantikan Tuai Rumah berdasar keturunan, status dalam keluarga

AMALAN pelantikan Tuai (Ketua) Rumah Panjang di kalangan etnik Tatau juga sama dengan kebanyakan suku kaum lain, iaitu mengikut keturunan dan kedudukan dalam keluarga.

Dalam erti kata lain, anak yang lebih tua dalam keluarga Tuai Rumah Panjang sedia ada lebih layak menggantikan tampuk kepemimpinan suku kaum itu selepas ayahnya meninggal dunia

Berikutan penggantian ketua, lazimnya nama rumah panjang juga ditukar menggunakan nama Tuai Rumah yang baru. Contohnya Rumah Panjang Jalong dinamakan sedemikian sempena ketuanya, Jalong anak Anyik.

Apabila dilantik sebagai Tuai Rumah Panjang, kini kerajaan memberi elaun RM450 sebulan dan antara tanggungjawabnya ialah menjaga hal ehwal penduduk, termasuk mengekal dan memelihara amalan serta adat suku kaumnya.

Jalong berkata, segala perkara dan masalah yang berlaku di rumah panjang akan dirujuk kepada Tuai Rumah Panjang, terutama membabitkan hubungan kekeluargaan serta keharmonian semua penduduk.

“Sebagai contoh, jika ada pasangan suami isteri berkelahi atau menghadapi masalah rumah tangga, perkara itu akan dirujuk kepada Tuai Rumah Panjang sekali gus bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikannya.

“Tuai Rumah Panjang juga akan menjadi ketua dalam sesuatu majlis, contohnya sewaktu rundingan perkahwinan, selain bertanggungjawab menjalankan sesuatu upacara atau adat suku kaum.
“Begitu juga dalam membuat sesuatu keputusan, saya akan mengetuai penduduk bermesyuarat bagi mendapatkan pandangan semua pihak,” katanya sambil menjelaskan turut bertanggungjawab menjaga keselamatan rumah panjang.

Bagaimanapun, beliau berkata, penduduk rumah panjangnya tidak banyak menimbulkan masalah, sebaliknya selain mentaati ketua, mereka mengamalkan kehidupan yang saling menghormati dan tolong-menolong.

Kewibawaan Jalong memimpin bukan saja dihormati anak buahnya, malah turut diiktiraf apabila dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman pada 1997.

Sebelum itu, beliau turut menerima pingat Bentara Bintang Sarawak (BBS) daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Ahmad Zaidi Adruce Muhammed Nor pada 1987.

Siti Ramlah Wok.



Wanita terperangkap kira-kira dua jam, tidak cedera

MACHANG: Seorang wanita nekad terjun ke dalam perigi rumah jirannya, selepas mendakwa terdengar suara ghaib menyuruhnya berbuat demikian dalam kejadian dekat Pulai Chondong di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian yang menggemparkan penduduk Kampung Laha, Pulai Chondong kira-kira jam 10 pagi itu, Siti Ramlah Wok, 52, bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun terjun dari ketinggian kira-kira tujuh meter.

Akibat tindakan itu, mangsa terperangkap dalam perigi terbabit selama kira-kira dua jam ketika kedalaman air mencapai paras pinggangnya, sebelum dikeluarkan sepasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Machang diketuai Ketua Operasi, Mohamad Sulaiman, dengan mengguna tali, kira-kira jam 12 tengah hari.

Sejurus diselamatkan dari perigi yang terletak kira-kira 150 meter dari rumahnya, ibu kepada 11 anak itu mendakwa, tindakannya terjun ke dalam perigi terbabit adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya selama ini.

"Ketika itu, makcik mahu pergi melihat suami yang sedang bertukang tidak jauh daripada rumah kami. Bagaimanapun ketika lalu dekat rumah jiran, saya dengar ada suara menyuruh terjun ke dalam perigi berdekatan.

"Entah macam mana, saya hanya mengikut arahan suara itu dan terus terjun ke dalam perigi. Selama ini, saya pernah juga melalui kawasan sama tetapi tidak pernah pula ada suara menyuruh berbuat demikian.
"Sejurus terjun, saya sedar sudah berada dalam perigi, nasib baik airnya cuma paras pinggang. Dalam takut itu, saya hanya mampu membaca surah Al-Fatihah dan mendoakan keselamatan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Siti Ramlah bernasib baik kerana seorang penoreh getah yang secara kebetulan lalu di situ terdengar suaranya sebelum bergegas meninjau dan memaklumkan penduduk sejurus mendapati mangsa terperangkap dalam perigi terbabit.

Suami Siti Ramlah, Hussin Mat Ali, 63, yang mengambil upah bertukang, berkata sebelum kejadian isterinya berada di rumah bersama anak mereka, Siti Zalia, 19.

"Saya bergegas balik sejurus dimaklumkan penduduk kampung mengenai kejadian menimpanya dan bergegas menuju perigi tempat dia terjun itu. Mulanya saya bersama penduduk kampung berusaha mengeluarkan sendiri isteri daripada dalam perigi itu, tetapi tidak berjaya sehingga bantuan bomba tiba.

"Saya bersyukur kerana air dalam perigi itu sekitar separas pinggang berikutan kemarau, jika tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku kepadanya," katanya
BH14/04/10