KUALA TERENGGANU 3 Julai - Seorang wanita yang singgah di Taman Tamadun Islam di sini sebelum menunaikan solat di Masjid Kristal dikejutkan dengan pengalaman aneh apabila mendapati dua helai sejadah tiba-tiba bercantum sebelum 'bangkit berdiri' di sisinya.
Kakitangan kerajaan berasal dari Dungun berusia 35 tahun itu menyangka objek tersebut hanya bayang jemaah lain yang mendirikan solat di sebelah kirinya.
Namun setelah selesai solat, wanita itu terkejut apabila melihat dua helai sejadah bercantum dalam keadaan menegak seolah-olah berdiri.
"Masa itu saya beristighfar beberapa kali dan terus mengambil telefon bimbit lalu merakamkan gambar sejadah berkenaan," katanya yang enggan dikenali ketika ditemui dekat sini.
Menurutnya, pengalaman pelik kira-kira pukul 11 pagi beberapa hari lalu amat luar biasa dan bersyukur kerana 'terpilih' menyaksikannya.
"Pengalaman ini tidak menyebabkan saya takut untuk datang ke sini kerana saya percaya ia bukan benda yang tidak baik," katanya.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di taman tema tersebut yang juga enggan dikenali mengakui dia seringkali terserempak dengan pelbagai kejadian aneh di situ.
"Malah ada penduduk sekitar kawasan ini bercerita, pulau ini memang agak 'keras' dan menjadi kawasan tempat orang membuang benda-benda tak elok sebelum ia dibangunkan," katanya.
Dalam pada itu, seorang petugas di Masjid Kristal pula menjelaskan, kejadian tersebut mungkin ada kaitan dengan jin Islam kerana sebelum ini seorang wanita mengadu mengenai kejadian yang hampir sama.
"Waktu itu dia baru selesai solat asar berseorangan sebelum tiba-tiba melihat kejadian serupa," katanya yang enggan namanya disiarkan.
Beliau juga berharap umat Islam yang singgah untuk mendirikan solat di masjid itu tidak bimbang dan takut sebaliknya menganggap kejadian aneh itu sebagai satu petunjuk kebesaran Allah SWT.
Utusan Malaysia 4/7/2009
Friday, July 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment