Tuesday, July 15, 2008

Pelajar terkejut benang keluar dari lutut

KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan di sini terkejut apabila rasa geli di lutut kiri akhirnya mengeluarkan sejenis benang yang kini masih terlekat di bahagian itu.

Nurshalwani Mohamed, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Penambang di sini berkata, kejadian berlaku jam 11 malam tadi telah mengejutkan seluruh keluarganya apabila benang sepanjang 6.5 sentimeter itu keluar daripada lututnya.

“Terkejut sungguh apabila lihat tiba-tiba benang keluar daripada lutut selepas rasa geli yang amat sangat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Cinta, Badang di sini, hari ini.

Pelajar itu berkata, sebelum itu beliau rasa sakit di beberapa bahagian badan dan disusuli rasa geli yang amat sangat di bahagian lututnya. Katanya apabila mendapati benang itu keluar, beliau menjerit ketakutan dan memberitahu keluarga mengenai kejadian itu.

“Terkejut betul tiba-tiba keluar benang macam ni, tak tahu nak cakap dan menjerit,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu juga menghidap sejenis gatal badan sejak setahun lalu.

Ibunya, Zaharah Mamat, 48, yang menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang sangat aneh berkata, Nurshalwani akan berasa sakit jika benang itu cuba ditarik atau dikeluarkan. Bapa pelajar itu Mohamed Rejab, 51, seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra II di sini menyifatkan ia satu anugerah Allah S.W.T kepada anaknya itu.

“Malam tadi kerana takut benang itu masuk balik ke dalam lutut, isteri saya mengikatnya dengan cincin tetapi sehingga hari ini benang itu tetap dalam keadaan ini iaitu tidak panjang lagi atau menjadi pendek,” katanya.

Beliau akan membawa Nurshalwani mendapatkan rawatan di hospital dalam tempoh sehari dua ini dan berharap pakar perubatan akan dapat mengetahui punca kejadian itu.

“Sesiapa nak buat kajian saya benarkan dan kami sekeluarga pun nak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

— Bernama (15 Julai 2008)

No comments: