Monday, July 21, 2008

Ikan pari gergasi Mekong ditangkap


UNIVERSITI Nevada-Reno menyiarkan foto menunjukkan ahli biologi Amerika Syarikat, Zeb Hogan, bergambar dengan ikan pari gergasi di Sungai Mekong yang ditangkap nelayan Kemboja dekat Kratie, April lalu. Hogan, 34, mengunjungi kawasan itu selepas mendengar cerita mengenai wujudnya ikan pari seberat 440 kilogram dan selebar 4.2 meter.
Beliau percaya, ada ikan pari di situ yang lebih besar daripada ikan keli gergasi Mekong yang memegang rekod dunia dengan berat 293 kilogram. - AP

Buaya mati diserang harimau bintang

MENAKJUBKAN: seekor harimau bintang menerkam dan membaham buaya yang berenang di air. Aksi luar biasa ini dirakam buat kali pertama oleh seorang jurugambar hidupan liar Amerika di taman haiwan Afrika Selatan baru-baru ini

JOHANNESBURG: Keadaan menakjubkan seekor harimau bintang menyerang buaya dirakam buat kali pertama oleh seorang jurugambar baru-baru ini yang kebetulan berada di situ.

Rakaman luar biasa serangan harimau bintang ke atas buaya itu dilakukan julung kalinya di taman haiwan Afrika Selatan oleh Hal Brindley, seorang jurugambar hidupan liar Amerika, yang sepatutnya mengambil gambar badak sumbu dari keretanya di Taman Negara Kruger.

Tiba-tiba seekor harimau bintang melompat keluar dari celah pokok renik dan belukar serta terus menerkam buaya yang berenang di air, menyebabkan berlaku pergelutan berdarah antara kedua-dua haiwan ganas itu.

Harimau bintang itu kemudian menyeret buaya berkenaan keluar daripada air dan berlaku lagi pergelutan ganas apabila buaya itu cuba melawan dengan menggunakan kekuatan badan dan giginya yang tajam. Tetapi, akhirnya harimau berkenaan berjaya menguasai 'mangsanya' dengan menekan badan buaya itu umpama mencekik, hingga mati. Sebelum ini memang ada laporan mengenai buaya membunuh harimau bintang, tetapi mungkin ini kali pertama keadaan sebaliknya berlaku.

"Saya bertanya ramai anggota ranger di Afrika Selatan sama ada mereka pernah melihat kejadian seumpama dan mereka berkata tidak.

"Ia tidak masuk akal. Segala-galanya berlaku dalam masa kira-kira lima minit. Kemudian harimau bintang itu hilang."

"Saya pun balik dalam keadaan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Ia amat menakjubkan yang pernah saya lihat," kata Brindley.

- Agensi 21.07.08

Wednesday, July 16, 2008

Menara berputar: Bangunan unik

DYNAMIC TOWER Dubai yang bergerak setiap saat, seni bina kreatif terbaru daripada arkitek Itali
BANGUNAN Bakul (Amerika Syarikat)
THE CROOKED HOUSE di Poland, menjadi tarikan pelancong

Reka bentuk menyanggah tradisi, tarik perhatian dunia APABILA menyebut bangunan, tentunya dibayangkan berciri pencakar langit, empat persegi, dikukuhkan dengan kerangka keluli selain dilengkapi tingkap kaca jernih. Tingginya yang menyapu awan dengan keluasan menyamai berpuluh-puluh padang bola sedikit sebanyak mengehadkan imaginasi kita bahawa ada segelintir pencakar langit menawarkan seni bina pelik lagi menakjubkan.
Menara Bergerak, Dubai Dilancarkan pada 24 Jun lalu, arkitek Itali, Dr David Fisher mengumumkan pembinaan menara pertama di dunia yang bergerak setiap saat. Bangunan yang menghadap ke laut itu dirancang didirikan di beberapa lokasi di dunia bermula dengan Dubai, Moscow diikuti New York. Menurut Dynamic Group, syarikat yang akan membina bangunan yang dinamakan Dynamic Tower Dubai setinggi 420 meter itu bakal menempatkan 80 tingkat unit pangsapuri dengan keluasan 124 meter persegi manakala villa pula seluas 1,200 meter persegi. Setiap unit kediaman dilengkapi tempat meletak kereta dalam rumah.

Keunikan seni bina menara itu adalah ciri aras lantai yang berpusing mengikut hala bebas sekali gus mewujudkan perspektif pandangan berbeza. Dynamic Tower mesra alam dan bangunan pertama di dunia direka dengan keupayaan menjana elektrik sendiri melalui turbin angin yang dipasang di setiap tingkat. "Setiap aras dijangka mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan. Ini revolusi baru seni bina. Mulai hari ini, bangunan bukan lagi disempurnakan di tapak projek tetapi di kilang," katanya yang berpengalaman 30 tahun menzahirkan bangunan teknologi terkehadapan di bandar besar seperti London, New York, Hong Kong, Paris dan Dubai. Bangunan Bakul (The Basket Building) di Amerika Syarikat

Mulanya hanya angan-angan tetapi menjadi nyata apabila Dave Longaberger, pengasas syarikat Longaberger membina bangunan pejabat berbentuk bakul bertangkai. Longaberger percaya itu adalah ilham terbaik daripadanya. Beliau yakin kewujudan bangunan itu akan menarik perhatian dan menambah rezekinya namun sebaliknya reputasi Longaberger jatuh merudum. Bukan saja bank, arkitek malah syarikat pemaju mentertawakannya dan beliau dituduh cuba berlawak. Tidak cukup itu, pekerjanya juga lari meninggalkannya. Longaberger bagaimanapun tidak berputus asa sebaliknya mengambil keputusan mengekalkan bangunan berkenaan. Cita-citanya termakbul apabila bangunan itu dibuka untuk operasi pada 17 Disember 1997. The Dancing House, Republik Czech Bangunan pejabat yang terletak di pinggir bandar Prague ini diilhamkan arkitek kelahiran Croatia, Vlado Milunic dengan kerjasama arkitek Kanada, Frank Gehry. Bangunan itu dibina di atas tapak bangunan bersejarah yang musnah ketika pengeboman Prague pada 1945. Kerja pembinaan bermula pada 1994 berakhir dua tahun kemudian. Reka bentuk bangunan yang menyanggah tradisi itu menimbulkan kontroversi. Mujur Presiden Czech, Vaclav Havel, yang sekian lama menetap di sebelah tapak bangunan itu menyuarakan sokongan peribadinya. Dia yakin The Dancing House bakal menjadi pusat budaya tersohor. Asalnya, dinamakan Fred and Ginger bersempena pewarisnya Fred Astaire dan Ginger Rogers. Namun ditukar selepas mendapati seni bina bangunan berkenaan mirip seorang perawan sedang berdansa. Milunic dan Gehry menerapkan gaya Neo Baroque, Neo Gothic dan Art Nouveau yang menjadi tanda pengenalan seni bina bangunan di Prague. Restoran Perancis di puncak bangunan menawarkan pemandangan seluruh bandar. Rumah Piano di China Terletak di Wilayah An Hui, China. Untuk ke aras atas, pengunjung perlu menaiki tangga bergerak di dalam biola kaca. Bangunan ini menyediakan prospek cerah terhadap pelan pembangunan dan kemajuan bandar kerana mewujudkan daya tarikan baru pelancongan di daerah itu. Pustaka Kansas City di Amerika Syarikat Bangunan kutub khanah paling mengagumkan di Amerika Syarikat. Warga tempatan diberi peluang memilih judul buku yang memberi pengaruh besar terhadap bandar Kansas selain pernah memenangi anugerah untuk diabadikan pada dinding tempat meletak kereta. Bangunan Robot (Thailand) Bangunan yang terletak di zon perniagaan Sathorn, Bangkok ini sebenarnya ibu pejabat bank United Oversea. Diilhamkan arkitek Sumet Jumsai mewakili kecanggihan sistem pengkomputeran perbankan negara gajah putih itu. Seni binanya menampilkan pertentangan gaya antara neo klasikal dan teknologi tinggi pasca moden. Ciri muka bangunan yang landai, dilengkapi antena dan sepasang mata di bangunan teratas menjadikannya mirip robot gergasi. Siap dibina pada 1986, bangunan ini menjadi contoh mutakhir seni bina moden di Bangkok. Kemunculannya meraih perhatian antarabangsa dan diberi kritikan membina. Bangunan Biru di Belanda Pihak pentadbiran Delfshaven, Rotterdam meminta Schildersbedrijf N&F Hijnen menyediakan pelan baru bagi bangunan terbiar yang bakal dirobohkan. Perjanjian dengan kawasan kejiranan di situ ialah warna biru bangunan berkenaan dikekalkan selagi belum ada pelan pembangunan baru. Oleh kerana usia yang sudah berabad, seni bina bangunan ini dianggap paling ketinggalan zaman di Rotterdam. Malah kewujudannya langsung tidak diberi perhatian. Namun, sebaik ditambah satu lapisan lagi 0.002 milimeter cat biru, bangunan ini diisytiharkan paling popular di Rotterdam dan sering diabadikan dalam foto kenangan. The Crooked House di Poland Arkitek Poland, Szotynscy Zaleski, menzahirkan Crooked House seni bina pusat membeli-belah selepas mendapat ilham daripada ilustrasi dongeng kanak-kanak Jan Marcin Szancer. Berkeluasan 4,000 meter persegi, pusat membeli-belah yang terletak di Rezydent, Sopot, Poland ini kini menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Poland. Sam Kee, bangunan paling nipis di Kanada. Terletak di 8 West Pender Street ini adalah bangunan dua aras dengan ukur lebar cuma 1.5 meter. Sejarah bangunan ini sama luar biasa dengan struktur seni binanya. Menurut cerita, Chang Toy pemilik hartanahnya diminta penduduk Vancouver menyerahkan seluas dua meter kawasannya untuk pembangunan Pender Street. Tiada ganti rugi diberikan sedangkan baki tanah tidak seluas mana. Toy kemudiannya mengupah seorang arkitek tampil dengan ilham binaan menakjubkan termasuk menjadi bangunan tunggal dilengkapi lorong pejalan kaki kaca di Chinatown. Selain Dynamic Tower, bangunan kreatif di dunia di pilih oleh laman web http://www.oddee.com FAKTA: Dynamic Tower
Setiap tingkat berpusing mengikut kelajuan berbeza.
20 tingkat pertama memuatkan unit pejabat, tingkat 21 sehingga 35 menempatkan hotel mewah, 36 hingga 70 mengandungi unit kediaman pangsapuri dan 10 tingkat selebihnya menawarkan villa mewah.
Pembinaannya menuntut pembabitan 80 juruteknik dan 2,000 pekerja binaan.
Dilancarkan arkiteknya, David Fisher pada 24 Jun lalu dan dijangka siap menjelang 2010.
Impian Fisher membina bangunan menakjubkan ini menerima sokongan Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sultan Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum.
Fisher mendapatkan kerjasama arkitek dan jurutera berpengalaman dari United Kingdom dan India.


Tuesday, July 15, 2008

Pelajar terkejut benang keluar dari lutut

KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan di sini terkejut apabila rasa geli di lutut kiri akhirnya mengeluarkan sejenis benang yang kini masih terlekat di bahagian itu.

Nurshalwani Mohamed, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Penambang di sini berkata, kejadian berlaku jam 11 malam tadi telah mengejutkan seluruh keluarganya apabila benang sepanjang 6.5 sentimeter itu keluar daripada lututnya.

“Terkejut sungguh apabila lihat tiba-tiba benang keluar daripada lutut selepas rasa geli yang amat sangat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Cinta, Badang di sini, hari ini.

Pelajar itu berkata, sebelum itu beliau rasa sakit di beberapa bahagian badan dan disusuli rasa geli yang amat sangat di bahagian lututnya. Katanya apabila mendapati benang itu keluar, beliau menjerit ketakutan dan memberitahu keluarga mengenai kejadian itu.

“Terkejut betul tiba-tiba keluar benang macam ni, tak tahu nak cakap dan menjerit,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu juga menghidap sejenis gatal badan sejak setahun lalu.

Ibunya, Zaharah Mamat, 48, yang menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang sangat aneh berkata, Nurshalwani akan berasa sakit jika benang itu cuba ditarik atau dikeluarkan. Bapa pelajar itu Mohamed Rejab, 51, seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra II di sini menyifatkan ia satu anugerah Allah S.W.T kepada anaknya itu.

“Malam tadi kerana takut benang itu masuk balik ke dalam lutut, isteri saya mengikatnya dengan cincin tetapi sehingga hari ini benang itu tetap dalam keadaan ini iaitu tidak panjang lagi atau menjadi pendek,” katanya.

Beliau akan membawa Nurshalwani mendapatkan rawatan di hospital dalam tempoh sehari dua ini dan berharap pakar perubatan akan dapat mengetahui punca kejadian itu.

“Sesiapa nak buat kajian saya benarkan dan kami sekeluarga pun nak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

— Bernama (15 Julai 2008)

Sunday, June 29, 2008

Misteri nahas pesawat Mr Kandos

MAYAT Philip Upali, masih belum ditemui dalam nahas udara pada 1983.
JET Lear LR35 adalah model pesawat yang dimiliki Upali.

SM RATNAM seorang rakyat Malaysia turut berada dalam pesawat.
Raja Koko bersama empat rakan 'hilang' sebaik pesawat dinaiki mereka terhempas di Selat Melaka
SEKITAR lewat 70-an dan awal 80-an, coklat kandos begitu popular di Malaysia.
Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui pengasas syarikat Kumpulan Syarikat Upali, Philip Upali Wijewardene yang mengeluarkan coklat itu di negara ini, hilang bersama pesawat peribadi yang dinaiki selepas dipercayai terhempas di Selat Melaka. Mayat tokok yang terkenal dengan gelaran ‘Raja Koko’ atau jutawan Mr Kandos itu bersama empat rakan termasuk juruterbang, tidak ditemui sehingga kini.

Dalam kejadian yang berlaku pada 14 Februari 1983, pesawat peribadinya, Jet Lear LR35 dipercayai terhempas ketika penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Subang menuju ke Colombo, Sri Lanka.
Pesawat yang turut membawa rakyat Malaysia, S M Ratnam berlepas dari Subang kira-kira jam 8.40 malam dan dijangka tiba di Sri Lanka pada jam 12.11 pagi. Bagaimanapun, kira-kira 10 minit berlepas, pesawat dilaporkan hilang daripada radar pada kedudukan 100 kilometer nautika dari Subang. Berikutan kehilangan pesawat itu, Malaysia, Indonesia, India dan Sri Lanka segera menubuhkan pasukan khas menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian.

Malah, Singapura, Amerika Syarikat dan Russia turut menyertai pasukan itu bagi mengesan setiap inci Selat Melaka termasuk menggunakan kapal pengesan periuk api (logam), namun masih gagal menemui pesawat yang dipercayai terhempas di perairan itu.
Usaha mencari mangsa di sekitar Selat Melaka dihentikan setahun kemudian kerana tiada bukti atau penemuan baru ditemui untuk dijadikan petunjuk menyebabkan pasukan mencari menemui jalan buntu. Mungkin secara kebetulan, seorang tukang tilik pernah meramalkan Upali akan mati sebelum berusia 45 tahun dan ramalan itu dibuat kira-kira 20 tahun sebelum nahas berlaku.
Tilikan pada simbol bintang kelahirannya menunjukkan, Mr Kandos itu akan berkubur di kawasan berair. Kira-kira enam bulan sebelum nahas, Upali memiliki pesawat peribadi Jet Lear LR35 dengan membuat pinjaman syarikat kewangan di New Zealand pada Ogos 1982.
SM RATNAM seorang rakyat Malaysia turut berada dalam pesawat.

Mengikut perancangan awal, beliau sepatutnya berkunjung ke Australia untuk meninjau kuda tetapi membatalkan perjalanan dan menukar jadual penerbangan ke Malaysia sebelum dilaporkan hilang. Sehingga kini, kehilangan Upali sering diperkatakan masyarakat Sri Lanka, malah peristiwa itu dimuatkan dalam laman web akhbar miliknya, The Island kerana beliau dianggap lagenda di negaranya kerana bercita-cita besar dan berjaya dalam perniagaan sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat.
Menyingkap kronologi kejadian, kira-kira 10 minit berlepas dari Subang, radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan jet itu di skrin radar tetapi `blip' pesawat hilang beberapa minit kemudian. Kehilangannya mungkin disebabkan pesawat itu diterbangkan pada aras rendah.
Kira-kira jam 8.56 malam, hubungan radio antara juruterbang Jet Lear LR35 dengan pegawai di menara kawalan terputus. Juruterbang Balkan Air, Kapten Raihov dilaporkan mendengar kawat radio jet Lear LR35 (November 482 Uniform Menara Colombo... kamu mendengar kami? (Nov 482 adalah nama rahsia untuk pesawat Lear LR35) ketika berada dalam penerbangan ke Soviet. Agak menghairankan, sejak hari kejadian, pasukan mencari dan menyelamat langsung tidak menemui sebarang bukti atau petunjuk tempat nahas berlaku, sekurang-kurangnya cebisan pesawat. Kini, fail siasatan juga sudah ditutup kerana menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersedia membuka semula fail jika terdapat penemuan baru tetapi kini kertas siasatan itu dianggap sebagai fail mati dan tidak lagi menjadi keutamaan jabatan. Berikutan kegagalan mengesan pesawat, pelbagai andaian dibuat, ada mengatakan pesawat itu disabotaj termasuk diletupkan tetapi ia tidak tepat kerana tiada sebarang bukti ditemui mengaitkan kegiatan itu bahkan keluarga mangsa tidak pernah menerima sebarang ugutan atau wang tebusan.
Kronologi siasatan:
16 Februari 1983

Siasatan awal DCA Malaysia mendapati pesawat bergerak terlalu pantas. Radar TUDM Butterworth mengesan pesawat itu dari ruang udara Batu Arang dan tujuh minit kemudian tidak kelihatan di layar radar jam 8.56 malam Ahad (hari kejadian).

Jam 9.03 malam lampu `blip' pesawat padam dan hilang pada skrin radar. Ketika itu pesawat berkenaan berada kira-kira 20 batu nautika dekat pantai Sumatera.

Pasukan khas Malaysia menghentikan operasi mencari dan menyelamat tetapi anggotanya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia memberi bantuan jika diperlukan pasukan Indonesia.
17 Februari 1983

Satu bungkusan alat keselamatan dipercayai milik jet Lear LR35 ditemui seorang nelayan kira-kira 60 batu nautika ke timur Medan, Selat Melaka. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati bungkusan itu bukan milik jet berkenaan.
19 Februari 1983

Serpihan pesawat ditemui di Pulau Berhala, Indonesia. Pihak berkuasa menafikan ia milik jet Lear LR35 kerana serpihan yang ditemui itu diperbuat daripada gentian kaca, sebaliknya pesawat malang berkenaan adalah daripada besi.
28 Januari 1984

DCA Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka mengumumkan secara rasmi pemberhentian siasatan dan operasi mencari pesawat Lear LR35 kerana rangkanya gagal ditemui.
Info:

Mangsa nahas, Philip Upali Wijetawardene, S M Ratnam (rakyat Malaysia); A S Peli Mahendran (Pengarah Perdagangan Upali); A Senanayake (pramugara); Kapten Anandappa (juruterbang); dan Kapten Soyza (juruterbang).

Upali memiliki perusahaan koko dan kelapa seluas 2,000 hektar di Perak melalui penubuhan Syarikat Kirul Malaysia Berhad

Perniagaan usaha sama dengan Kerajaan Sabah, memiliki 20,000 hektar ladang koko.
Upali dilahirkan pada Februari 1938.

Menimba pengalaman bekerja dengan Lever Brothers dan mula meneroka bidang perniagaan dengan mengasaskan Kumpulan Syarikat Upali, bermula dengan menghasilkan gula-gula jenama ‘Delta’.

Gelaran jutawan membolehkan beliau memiliki kenderaan mewah, Mercedes Benz S-Class 126 yang diimport dari Malaysia, yang juga kereta pertama seumpamanya yang dimiliki rakyat Sri Lanka.

Sering berkunjung ke Malaysia bersama sahabatnya, Gamini S Korala yang menetap di Singapura dan beliau sering memandu kereta Mercedes rakan karibnya itu.

Selain kenderaan mewah, Upali turut memiliki pesawat Cessna Citation yang boleh terbang ke Singapura, Kuala Lumpur dan Bangkok.

Kira-kira dua tahun sebelum kehilangan misterinya, Upali memenuhi impian untuk memiliki syarikat persuratkhabaran sendiri, Upali Newspapers Ltd yang menerbitkan akhbar The Island and Divaina.

Thursday, May 15, 2008

16 Mei 2008 - Ribuan kodok muncul tiga hari sebelum gempa bumi

BEIJING: Beberapa jam sebelum berlaku gempa bumi terburuk di China sejak tiga dekad lalu, paras air dalam kolam tiba-tiba surut, beribu-ribu kodok muncul di jalanan di wilayah berhampiran, manakala haiwan di zoo berhampiran berkelakuan pelik.

Ketika mayat ditarik keluar daripada runtuhan dalam gempa Isnin lalu, bilik sembang dan blog internet di China dipenuhi beberapa persoalan: Mengapa petanda semula jadi itu tidak memberi amaran awal kepada kerajaan bahawa bencana akan berlaku?

“Jika biro seismologi bertindak cukup profesional, mereka mungkin dapat meramalkan kejadian gempa 10 hari sebelumnya, apabila beberapa ribu meter padu air surut dalam tempoh sejam di Hubei, tetapi biro di sana menolaknya,” kata seorang pengulas.

Malah, ahli seismologi berkata, agak mustahil secara praktikal untuk meramalkan bila dan di mana gempa akan berlaku. Beberapa negara, termasuk China memilih menggunakan perubahan pada alam semula jadi - kebanyakannya kelakuan haiwan - sebagai tanda amaran awal.

“Namun, setakat ini, tiada cara lebih baik ditemui untuk menggunakan haiwan sebagai petanda awal gempa bumi,” kata Roger Musson, seorang seismologi dengan Tinjauan Geologi Britain.

Perkara itu tidak dapat menghentikan perbincangan online yang mencurah-curah. Malah, media utama turut menyampuk dengan artikel dalam akhbar China Daily Selasa lalu mempersoalkan mengapa kerajaan tidak meramalkan kejadian gempa itu.

Tanda pertama muncul kira-kira tiga minggu lalu, apabila sejumlah isi padu besar air tiba-tiba surut daripada sebuah kolam di bandar Enshi wilayah Hubei kira-kira 560 kilometer timur pusat gempa, menurut laporan media.

Kemudian, tiga hari sebelum gempa, beribu-ribu kodok muncul di jalanan di Mianzhu, bandar paling teruk terjejas di mana sekurang-kurangnya 2,000 penduduk dilaporkan terbunuh.

Pada hari berlakunya gempa, kuda belang menghantukkan kepala pada pintu di zoo di Wuhan, lebih 1,000 kilometer timur pusat gempa, menurut Wuhan Evening Paper.

Gajah menghayunkan belalai membabi buta, manakala 20 ekor singa dan harimau yang biasanya tidur pada siang hari, berlegar-legar. Lima minit sebelum berlakunya gempa, berbelas-belas ekor burung merak mula menciut. -

AP

Pokok Terbesar di Dunia di Malaysia

REKOD DUNIA: Pengawas Hutan, Mohd Razaman Omar,53 (kiri) bersama rakannya, Abdul Karim Yusoff,55 sedang mengukur lilitan 14.3 meter lebar pokok Meranti Bukit yang berusia lebih 1000 tahun dengan ketinggian 40 meter dipercayai tertua dan terbesar di dunia dan diiktiraf dalam Malaysia Book of Record pada 2007. Ia terletak di Hutan Simpan Kekal Sungai Relai, Kuala Krai sempadan Gua Musang