BEIJING: Beberapa jam sebelum berlaku gempa bumi terburuk di China sejak tiga dekad lalu, paras air dalam kolam tiba-tiba surut, beribu-ribu kodok muncul di jalanan di wilayah berhampiran, manakala haiwan di zoo berhampiran berkelakuan pelik.
Ketika mayat ditarik keluar daripada runtuhan dalam gempa Isnin lalu, bilik sembang dan blog internet di China dipenuhi beberapa persoalan: Mengapa petanda semula jadi itu tidak memberi amaran awal kepada kerajaan bahawa bencana akan berlaku?
“Jika biro seismologi bertindak cukup profesional, mereka mungkin dapat meramalkan kejadian gempa 10 hari sebelumnya, apabila beberapa ribu meter padu air surut dalam tempoh sejam di Hubei, tetapi biro di sana menolaknya,” kata seorang pengulas.
Malah, ahli seismologi berkata, agak mustahil secara praktikal untuk meramalkan bila dan di mana gempa akan berlaku. Beberapa negara, termasuk China memilih menggunakan perubahan pada alam semula jadi - kebanyakannya kelakuan haiwan - sebagai tanda amaran awal.
“Namun, setakat ini, tiada cara lebih baik ditemui untuk menggunakan haiwan sebagai petanda awal gempa bumi,” kata Roger Musson, seorang seismologi dengan Tinjauan Geologi Britain.
Perkara itu tidak dapat menghentikan perbincangan online yang mencurah-curah. Malah, media utama turut menyampuk dengan artikel dalam akhbar China Daily Selasa lalu mempersoalkan mengapa kerajaan tidak meramalkan kejadian gempa itu.
Tanda pertama muncul kira-kira tiga minggu lalu, apabila sejumlah isi padu besar air tiba-tiba surut daripada sebuah kolam di bandar Enshi wilayah Hubei kira-kira 560 kilometer timur pusat gempa, menurut laporan media.
Kemudian, tiga hari sebelum gempa, beribu-ribu kodok muncul di jalanan di Mianzhu, bandar paling teruk terjejas di mana sekurang-kurangnya 2,000 penduduk dilaporkan terbunuh.
Pada hari berlakunya gempa, kuda belang menghantukkan kepala pada pintu di zoo di Wuhan, lebih 1,000 kilometer timur pusat gempa, menurut Wuhan Evening Paper.
Gajah menghayunkan belalai membabi buta, manakala 20 ekor singa dan harimau yang biasanya tidur pada siang hari, berlegar-legar. Lima minit sebelum berlakunya gempa, berbelas-belas ekor burung merak mula menciut. -
AP
Thursday, May 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment