26 Okt. 2008 - Sungguhpun pernah ditawarkan dengan harga yang tinggi, seorang pewaris sepasang meriam tetap enggan menjual warisan nenek moyangnya yang didakwa berusia lebih 200 tahun.
Sahibah Mat, 74, berkata, meriam itu sering menarik perhatian pengunjung ke rumahnya di Kampung Penipah, Daro dekat sini.
''Ramai yang bertanya tentang kewujudan meriam dan ada orang luar sanggup membeli RM25,000.
''Saya lebih gemar menyimpan meriam ini kerana diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang saya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dua meriam itu diperbuat daripada tembaga tulen. Satu daripadanya seberat kira-kira 60 kilogram dan panjang kira-kira 120 sentimeter.
Manakala yang lebih kecil beratnya 20 kilogram, sepanjang 50 sentimeter.
Kedua-dua meriam ditegakkan dan diikat kemas pada tiang dalam rumah.
Tidak ada apa-apa tulisan terdapat pada badan dua batang meriam, hanya ukiran corak bunga.
Menceritakan lanjut, anaknya Kipli Rasdi, 39, berkata, meriam itu dijadikan hantaran kahwin generasi lama keluarga mereka.
''Ketika Jepun datang menjajah Sarawak dahulu, emak kami menyembunyikan meriam ini dalam tanah di bawah rumah. Dia bimbang meriam warisan keluarga dicuri," jelasnya.
Beliau percaya meriam itu sudah wujud sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak.
Rumah mereka turut menyimpan sebuah tempayan dikenali sebagai 'pergam' yang dianggarkan berusia 100 tahun.
Ia sengaja ditempatkan dalam bilik tidur emaknya agar tidak dicuri.
Menurutnya, tempayan yang digunakan untuk menyimpan beras satu ketika dulu, pernah dicuri tetapi dapat dijumpai semula.
''Warisan turun-temurun keluarga kami akan dijaga baik-baik dan tidak untuk dijual," katanya.
Monday, October 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment