Monday, September 8, 2008

Serangan emosi atau makhluk halus

BAPA seorang pelajar (kanan) dibantu kakitangan SMK Tanjung Lumpur mengangkat anaknya yang diserang histeria

Kejadian histeria berulang kali di SMK Tanjung Lumpur masih misteri KEJADIAN menimpa 35 daripada 800 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang yang terpaksa berhadapan dengan serangan histeria berulang kali sejak kes pertama dikesan Mei lalu terus menjadi misteri.

Pelbagai tekaan, rumusan dan kupasan dibuat berikutan kejadian dianggap akibat gangguan makhluk halus tetapi satu pun belum dapat menyelesaikan masalah itu, malah pengurusan sekolah tidak mampu berbuat apa-apa apabila serangan histeria berlaku terlalu pantas sehingga sukar mengawal keadaan.

Tanggungjawab dan sikap prihatin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat setempat dan kariah masjid sedikit sebanyak membantu pentadbir sekolah mencari jalan penyelesaian. Susulan itu, mesyuarat khas diadakan pada 28 Julai lalu antara Jabatan Pelajaran Pahang, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), PIBG, polis dan penduduk setempat bagi mencari jalan penyelesaian.

Selepas hampir tiga bulan, kes histeria berjaya diatasi pada 31 Julai lalu apabila beberapa pengamal perubatan tradisional melakukan ikhtiar termasuk kaedah `pembersihan' bertujuan memindahkan `makhluk halus' yang didakwa mengganggu pelajar berkenaan ke tempat lain yang tidak diketahui umum.

Bagaimanapun, kejadian itu terhenti hanya seketika dan kembali menyerang pelajar sama pada awal Ogos dan berselang seli sehingga rencana ini ditulis. Kejadian histeria yang didakwa bermula dari tandas sekolah menarik perhatian banyak pihak kerana pelajar dan guru yang didakwa dirasuk dan diganggu makhluk halus akan mengalami sakit sendi hingga menyebabkan mereka terpaksa berjalan bongkok seperti nenek tua yang sudah uzur.

Bagaimanapun, laporan hospital sebelum ini secara jelas mengesahkan semua mangsa tidak mempunyai masalah kesihatan dan berada dalam keadaan normal. Kejadian histeria di sekolah itu mula menyerang seorang pelajar perempuan pada 13 Mei lalu, sebelum berlarutan kepada 35 pelajar lain secara berulang-ulang dan kebanyakan mangsa adalah pelajar perempuan.

Lebih memburukkan keadaan, pelajar perempuan yang diserang histeria itu mengalami sakit sendi hingga berjalan bongkok seperti orang tua uzur dan kejadian itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan. Ada pelajar yang meronta dan berjalan terhuyung-hayang ke belakang bangunan sekolah sebelum jatuh, menjerit seperti dirasuk dan apabila sedar, pelajar akan mengadu sakit di bahu kanan.

Ada tanda lebam seperti kesan gigitan pada bahu mereka berdasarkan pemeriksaan dilakukan selepas pelajar berjaya dipulihkan. Dalam kejadian awal Ogos pula, pelajar yang dirasuk dan diserang histeria berkelakuan lebih agresif dengan cuba memanjat pagar sekolah serta bertutur dengan nada keras dan sukar dikawal.

Beberapa pelajar perempuan cuba melarikan diri dari sekolah dan menunjukkan aksi meronta dan melawan guru yang cuba menghalang mereka keluar dari perkarangan sekolah. Lebih menyeramkan, pelajar meracau seorang diri di belakang bangunan, bersuara keras dan memandang tajam ke arah guru serta pengawal keselamatan sebelum terhuyung-hayang dan pengsan.

Menurut beberapa mangsa yang ditemui, ingatan mereka samar-samar ketika diserang histeria tetapi mendakwa ada seorang nenek tua yang datang menghampiri mereka dan berbisik sesuatu. Aziz Basri, 56, bapa kepada seorang pelajar yang kerap diserang histeria berkata, kejadian misteri itu dikhuatiri mendatangkan risiko terhadap kesihatan pelajar selain mengganggu pembelajaran kerana mereka terpaksa mengambil cuti akibat kejadian itu. Beliau berkata, kes itu dipercayai berlaku pada hujung Mei lalu dan turut menimpa anak perempuannya.

"Kejadian itu berulang dan setiap kali menimpa anak saya yang berusia 14 tahun, dia akan murung dan kami risau ia menjejaskan pelajarannya," katanya.

INFO

Histeria Tanjung Lumpur

Kejadian bermula di tandas awal Mei 2008

Membabitkan 35 pelajar SMK Tanjung Lumpur

Sering berlaku pada waktu rehat

Antara tiga hingga lima pelajar setiap kali serangan dan mereka adalah mangsa yang sama

Serangan mengakibatkan pelajar bertindak agresif, suara bertukar garau dan kasar

Fizikal mangsa histeria berubah seperti orang tua berjalan bongkok

Ada kesan gigitan dan lebam pada bahu

No comments: