Thursday, May 21, 2009

Misteri kampung kembar

SEBAHAGIAN daripada 220 pasangan kembar perkampungan Kodinhi bersama keluarga mereka.

Fenomena pelik di sebuah kampung kecil di India cetus tanda tanyaKAMPUNG anak kembar. Inilah gelaran paling layak bagi sebuah perkampungan di India yang memiliki lebih 220 pasangan kembar pelbagai peringkat umur. Fenomena pelik tetapi satu realiti itu berlaku di perkampungan Kodinhi, di pedalaman Kerala, yang bukan saja mencipta kejutan tersendiri, tetapi turut membingungkan kalangan pegawai perubatan.

Angka 220 pasangan kembar bagi sebuah perkampungan yang dihuni kira-kira 2,000 keluarga sememangnya menakjubkan kerana nisbahnya yang enam kali lebih tinggi berbanding purata kelahiran kembar pada peringkat global. Apa yang berlaku di Kondinhi hanya mengulangi kejadian sama di sebuah perkampungan di Pur Umri, dekat Allahabad, pada 2004 lalu yang mana satu bagi setiap 10 kelahirannya juga kembar. Jika dilihat secara keseluruhannya di India, kelahiran kembar bagi setiap 1,000 penduduk di negara itu adalah pada kadar 45 bayi bagi setiap 1,000 kelahiran. Oleh itu, apa yang berlaku di Kondinhi disifatkan sebagai amat menghairankan.

Di perkampungan ini, seramai 15 pasangan kembar dilahirkan daripada kira-kira 300 kelahiran pada tahun lalu. Malah, keajaiban itu tidak terhenti setakat itu apabila lebih ramai lagi pasangan kembar dijangka dilahirkan tahun ini.

Oleh itu, jika berkesempatan mengunjungi Kondinhi, jangan terkejut jika anda melihat ramai berwajah seiras yang usianya dalam lingkungan sebulan hingga 65 tahun.

Malah, pasangan kembar bermain atau berjalan sekitar perkampungan Kodinhi di daerah Maluparam, selatan India itu sudah menjadi satu pemandangan biasa di sini. Dalam tempoh lima tahun lalu, misalnya, seramai 60 pasangan kembar dilahirkan dan angka itu bukannya berkurangan, sebaliknya terus meningkat saban tahun.

Menyedari keunikan kampung mereka, sekumpulan penduduk bertindak mewujudkan Persatuan Anak Kembar atau ringkasnya, Taka.

“Persatuan ini ditubuhkan bagi tujuan mengumpul dan memberi bantuan kepada pasangan kembar serta keluarga mereka,” kata Puallani Bhaskaran, 50, Presiden Taka serta bapa sepasang kembar lelaki. Apakah punca fenomena ini?

Apakah pada diet atau makanan diamalkan penduduk itu atau mungkinkah mereka ada rahsia tersendiri yang memungkinkan kejadian pelik ini? Buat masa ini, bukan saja orang biasa seperti kita sukar mentafsirkan kejadian pelik ini, tetapi pakar perubatan seperti Dr Krishnan Sribiju yang sudah terbabit dalam penyelidikan kelahiran kembar, termasuk di Kodinhi juga kehairanan.

Baginya, apa yang pasti, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar pasangan kembar di Kondinhi itu jauh lebih tinggi daripada 200 pasangan yang didaftarkan secara rasmi di perkampungan itu. Dr Sribiju juga yakin angka sebenar pasangan kembar di sini mungkin antara 300 hingga 350 pasangan.

Anehnya, bilangan kelahiran kembar itu bukannya berkurangan sebaliknya terus meningkat setiap tahun. Kalangan penduduk mendakwa fenomena itu berlaku sejak tiga generasi lalu tetapi Dr Sribiju, sebaliknya menganggarkan ia mungkin berlaku kira-kira 60 hingga 70 tahun lalu. Biarpun bersandarkan ilmu perubatan, Dr Sribiju mengakui kesukaran merungkai misteri berkenaan kerana tidak mempunyai kemudahan seperti peralatan analisis kimia bagi meleraikan fenomena itu.

“Mungkin juga ia ada kaitan dengan aspek pemakanan serta air yang diminum penduduk perkampungan Kondinhi. Tetapi ini pun cuma andaian, bukannya satu kepastian,” katanya dipetik media tempatan.

Pakar perubatan itu juga menolak kaitan pasangan kembar ramai itu dengan pencemaran bahan asing berikutan keadaan kembar yang dilahirkan sihat serta sempurna tanpa sebarang kecacatan. Lebih mengelirukan, tiada sebarang bantuan perubatan bagi kehamilan seperti kaedah rawatan persenyawaan luar rahim (IVF) kerana kebanyakan penduduknya miskin.

Fakta perubatan menunjukkan kebanyakan kelahiran kembar membabitkan ibu berusia lanjut, tetapi di Kondinhi, sebahagian besar ibu beranak kembar ini masih muda kerana ramai yang berkahwin pada usia 18 hingga 20 tahun. Satu lagi fakta perubatan menyatakan, kebanyakan ibu yang melahirkan anak kembar mempunyai ketinggian lebih 5 kaki 3 inci tetapi di Kondinhi, ibu pasangan kembar itu kira-kira 5 kaki.

Kesemua fakta ini membuktikan apa yang berlaku di Kondinhi sememangnya satu fenomena pelik, bukan saja dari sudut sains dan perubatan tetapi juga sosial. Apa yang menarik, siapa pun tidak menduga, kampung yang serba serbi mundur dan miskin dengan kedudukannya yang jauh di pedalaman, sebaliknya mewah dengan barisan pasangan kembar yang sekali gus mempopularkan Kondinhi di kalangan masyarakat asing.

INFO: Fakta kembar
Purata 125 juta kembar di seluruh dunia

Nigeria mencatat bilangan kembar tertinggi di dunia iaitu satu bagi setiap 20 kelahiran yang dikaitkan dengan makanan utamanya, keladi yang mengandungi bahan penggalak kesuburan

Penduduk kulit hitam menjadi etnik miliki anak kembar tertinggi iaitu 1 : 77 kelahiran

Di Amerika Syarikat, nisbah kelahiran kembar adalah 1:80 kelahiran

Nisbah kembar tiga 1 :10,000 kelahiran

Sejarah masyarakat China sebelum ini menyifatkan kelahiran kembar sebagai memalukan

Wanita berusia 35 hingga 39 tahun lebih berpeluang besar memiliki anak kembar berbanding ibu muda

Koleksi kejam


Presiden Guernsey's Auction, Arlan Ettinger bersama koleksi alatan seksaan berusia ratusan tahun yang bakal dilelong.
GAMBAR (kiri) Alat diletakkan dalam mulut mangsa bagi menyukarkan percakapan. (kanan) Salah satu daripada 252 alatan seksaan yang akan dilelong
Besi pengunci lidah, kerusi paku jadi bukti azab seksaan lampauBAYANGKAN keadaan ini - lidah 'dikunci', kulit tubuh disiat dan ditarik, manakala tangan melecur ditekap sarung tangan besi panas yang diletakkan di atas bara api. Ngeri bukan? Jika kita yang mendengarnya boleh memberi reaksi sedemikian, bayangkan penderitaan serta trauma mangsanya yang melalui proses kejam diseksa atas alasan hukuman serta bagi mendapatkan maklumat yang amat diperlukan.
Inilah azab dialami kalangan suspek dan penjenayah pada abad ke-16 hingga ke-19 yang diseksa menggunakan pelbagai peralatan yang sebahagian besarnya diperbuat daripada besi, demi memaksa mereka memberi kerjasama. Kini, penderitaan mereka itu bakal diselami menerusi lelongan peralatan antik itu oleh sebuah syarikat juru lelong Amerika Syarikat, Guernsey’s Auction. Bukan satu atau dua, malah sejumlah 252 artifak alat seksaan, buku dan dokumen mengenainya yang berusia ratusan tahun itu dan bernilai sekurang-kurangnya RM10.5 juta, dapat dilihat menerusi acara lelongan koleksi yang belum ditetapkan tarikhnya. Apa yang menarik, bahan artifak itu disifatkan sebagai koleksi peralatan seksaan terbanyak di dunia, setakat ini.
Antara peralatan yang sebahagian besarnya diperbuat daripada besi padu dan masih kukuh sehingga ke hari ini ialah alat pengunci lidah, rantai lengan ditusuk besi tajam, kerusi paku, pedang pancung, sarung tangan besi yang digunakan bagi membakar tangan serta topeng besi berat yang menyukarkan mangsa mengangkat kepala. Peralatan yang dibuat bertujuan menyebabkan kesakitan bukan sementara, sebaliknya kekal. Kesakitannya pula boleh dirasai hampir ke seluruh badan serta anggota penting - dari kepala, mulut, tangan, kaki dan tubuh. Koleksi itu sebelum ini dikatakan hilang pada awal abad ke-19. Ia kemudian ditemui selepas Perang Dunia Kedua apabila seorang lelaki Norway yang dihukum tentera Jerman, memperoleh koleksi berkenaan dan membawanya ke Amerika. Lelaki yang identitinya dirahsiakan pihak Guernsey mati pada 1970-an dan koleksi itu terus diwarisi anggota keluarganya selama beberapa generasi.

Apa yang menarik, biarpun tarikh lelongan masih belum diputuskan, berita mengenai acara itu mendapat perhatian ramai selepas publisiti meluas mengenainya dilaporkan media antarabangsa, baru-baru ini.
Malah, acara itu mendapat perhatian kerana muncul di tengah-tengah kesedaran ramai berhubung taktik seksaan kejam yang mencabuli hak asasi manusia, khususnya kontroversi taktik digunakan Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA), seperti kaedah melemaskan suspek atau ‘waterboarding’. Acara lelongan itu juga hanya mengetengahkan hakikat yang sudah pun diketahui ramai - penggunaan taktik kejam, perit dan menyeksakan itu yang sudah wujud sejak sekian lamanya. Pameran koleksi alat seksaan itu pula bukan kali pertama diadakan kerana pernah mendapat perhatian ramai menerusi pameran bergerak di sekitar Eropah selain dipamerkan di New York pada 1893. Selaras peredaran masa serta nilai sejarah dan ciri kejamnya menyebabkan ia dengan mudah bernilai jutaan ringgit. Malah, keunikan koleksi itu turut diakui Presiden Guernsey Auction, Arlan Ettinger yang dipetik sebagai berkata: “Peralatan ini sememangnya dihasilkan untuk mendatangkan kesakitan. Ia memang kejam. Kita mungkin tertarik dengan fungsinya, tetapi bayangkan trauma serta kesakitan dialami mangsa.
Ringkasnya, ia menarik, tetapi kejam.” Malah siapa sangka, imej peralatan besi yang kelihatan sudah berkarat itu pernah merakam jeritan dan kesakitan mangsa yang biarpun meronta, tetapi tetap diseksa. Kesannya pula bukan sedikit tetapi ciri-ciri pada alatan besi itu menunjukkan matlamat utamanya ialah mencetuskan kesakitan yang amat sangat pada hampir ke seluruh badan dan anggota penting - dari kepala, mulut, tangan serta kaki. Selain peralatan besi itu, sebagai bukti sejarah peranannya sebagai alat seksaan lampau, koleksi itu turut didatangkan dengan buku yang merakam senario penyeksaan dilakukan. Tidak ketinggalan, maklumat pendaftaran pengunjung pada pameran sama di England dan Jerman yang diadakan pada abad ke-18. Keunikan lain koleksi itu ialah tujuan acara lelongan itu bukannya bagi meraih keuntungan semata-mata, tetapi lebih penting menyemarak dan meningkatkan kesedaran mengenai kesan dan kesengsaraan hasil penggunaan taktik dan peralatan kejam sedemikian. Pada masa sama, ia juga bertujuan mengutip sumbangan dengan sebahagian hasil lelongan itu didermakan kepada pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International serta badan bukan kerajaan yang menentang kekejaman taktik ganas sedemikian. Mungkin pelik bagaimana peralatan yang bukan setakat menyeksa, malah turut meragut nyawa mangsa dipancung, boleh menyumbang kepada soal kesedaran mengenai taktik kejam ini. Tetapi inilah bukti selagi ada usaha, sudah pasti nilai murni kemanusiaan sejagat dapat diterapkan biarpun menerusi acara lelongan yang menyelami kekejaman lampau.
'Pengintip, pengkhianat dan pencuri paling banyak dihukum'
TAKRIFAN seksaan ini merujuk kepada kesakitan fizikal atau mental yang dilakukan ke atas individu bagi tujuan menghukum atau mendapatkan maklumat. Selain dimaki hamun, pelbagai peralatan turut dicipta bagi memberikan kesakitan melampau ke atas individu berkenaan. Pada Zaman Pertengahan yang diketahui sebagai era tidak bertamadun, kaedah seksaan paling kerap dilakukan ke atas mereka yang didakwa sebagai pengintip, pengkhianat serta pencuri. Dokumen sejarah menyatakan, jika kesalahannya serius, mereka boleh dihukum bunuh dan hukuman seperti gantung, lazimnya dibuat di kawasan terbuka bagi menjadi peringatan kepada penduduk. Antara kaedah popular bagi memaksa mangsa mendedahkan maklumat ialah menggunakan kerusi khas yang ditusuk dengan senjata tajam serta roda gergasi bagi menggantung mangsa. Beberapa kaedah yang digunakan bagi melakukan seksaan ke atas mangsa pada Zaman Pertengahan ini.
Ia termasuk:
Mencabut gigi/kuku
Memukul/belasah
Membutakan mata
Merendam kaki atau tangan dalam air panas
Mencekik
Mencacatkan badan
Melemaskan tahanan atau mangsa
Disebat/dirotan
Mengerat alat sulit

Membiarkan tahanan kelaparanAntara lokasi seksaan, selain kawasan terbuka atau tempat tumpuan awam ialah di bahagian bangunan yang lebih tersembunyi. Ini seperti di bahagian bawah tanah istana atau bangunan penjara.