KURITA jantan (kanan) sedang bercumbu dengan kurita betina
Haiwan jantan memilih betina paling besar kerana mampu menghasilkan lebih banyak telur
MISTERI kehidupan dan ‘asmara cinta’ sotong kurita sebenarnya jauh lebih rumit dan unik berbanding apa yang disangka kebanyakan penyelidik haiwan marin sebelum ini.
Pada musim mengawan, sotong kurita jantan akan cuba memikat sotong betina. Walaupun tubuh haiwan istimewa itu tidak mempunyai tulang, mereka masih mampu ‘berasmara’ ‘bercumbuan’, saling berpegangan sesungut dan akan mengawal pasangan dengan penuh ‘cemburu’
Kumpulan pengkaji dari Universiti California Berkeley yang membuat kajian di perairan Indonesia menyaksikan dengan rasa kagum kehidupan sotong kurita yang turut dikenali dengan nama saintifik Abdopus Aculeatus. Pelajar universiti itu Christine Huffard menyelam di kawasan perairan cetek untuk menyaksikan dengan lebih dekat kehidupan sotong berkenaan yang mempunyai tubuh berwarna coklat muda dengan saiz sebesar buah limau dan sesungut antara 16 hingga 20 sentimeter panjang.
Sotong kurita boleh dikaji dengan lebih terperinci jika hidup di dalam kurungan, tetapi berikutan ia adalah haiwan pemalu dan lebih aktif pada waktu malam, kehidupannya di alam semula jadi kurang difahami.
“Setiap hari ketika berada di dalam air kami dapat mempelajari sesuatu yang baru mengenai tabiat sotong kurita dan ia memang sangat menarik,” katanya yang kini bertugas di Institut Kajian Aquarium Bay Monterey, California. Huffard berkata, beliau bersama rakan kajiannya menyedari sotong kurita melakukan pelbagai perkara yang bertentangan dengan hipotisis yang dibuat berasaskan pemerhatian haiwan itu di dalam akuarium.
“Kami melihat sotong jantan mengawal sarang tempat ia mengawan selama beberapa hari dan mengusir sotong lain yang cuba mengganggu.
Malah kami terkejut apabila melihat ia ‘mencekik’ seekor daripada sotong kerana berada terlalu dekat dengan sarangnya,” katanya.
Beliau berkata, sotong jantan yang lebih kecil akan cuba ‘curi-curi’ mengawan dengan berenang di bahagian dasar laut dengan gaya lembut dan tidak menunjukkan jalur yang menunjukkan ia adalah sotong jantan.
Huffard mendapati saiz sotong turut memainkan peranan walaupun keperluannya tidak sama dengan manusia.
“Sotong jantan biasanya memilih sotong betina yang paling besar kerana ia mampu menghasilkan lebih banyak telur. Ia seperti satu strategi pelaburan,” kata Prof Roy Caldwell yang turut menjalankan kajian terhadap sotong kurita. Prof Caldwell berkata, beliau percaya tabiat ini adalah biasa kepada hampir 300 spesies sotong kurita.
Haiwan itu biasanya mengawan beberapa kali sehari sebaik saja ia mencapai kematangan seksual. Sotong jantan mempunyai sesungut khas untuk memasukkan sperma ke dalam organ sotong betina yang biasanya akan terus tinggal di sarang dan mengeluarkan berpuluh ribu biji telur.
Pasangan sotong itu akan mati dalam tempoh beberapa bulan selepas mengawan dan meninggalkan anak sotong menetas dan menjalani kehidupan sendiri.
FAKTA:
Ada lebih 100 spesies sotong kurita di seluruh dunia termasuk di laut dalam.
Sotong kurita mempunyai lapan sesungut, dengan kepala dan mata yang besar.
Sotong kurita adalah ‘pakar’ samaran. Ia boleh menukar warna tubuhnya untuk disesuaikan dengan dengan keadaan persekitaran.
Jika berada di dalam bahaya sotong kurita akan menyemburkan ‘cecair’ berwarna hitam kepada pemangsanya bagi mengaburi pandangan. Cecair itu juga mengandungi sejenis bahan kimia yang melemahkan deria bau pemangsa.
Seekor sotong kurita, walaupun sudah dewasa mampu mengecilkan tubuhnya dan memasuki lubang sebesar wang syiling.
Jika mahu bergerak pantas, sotong kurita boleh melonjakkan tubuh dengan menolak air di sekitarnya.