Sunday, December 30, 2007

21. Dua puluh tahun tahun diganggu saka



'Saya dan adik beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling'
"SAYA menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa seseorang itu sanggup 'mengorbankan' keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan Islam."
Begitulah luahan seorang wanita selepas membaca rencana mengenai angkara Saka yang disiarkan dalam Dimensi, tiga minggu lalu. Wanita yang hanya mahu menggelar dirinya Alia, menghantar emel untuk berkongsi pengalamannya lebih 20 tahun dihantui Saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya. Berikutan itu, Alia menetap di luar negara untuk mengelak pelbagai gangguan mistik dan menyeramkan angkara saka itu.
Ikuti luahannya:
Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum meninggal, datuk sebelah ayah lumpuh selama setahun. Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama paha ke bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain, kerap jatuh dan terlanggar.
Ketika saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik beradik lain selalu terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di rumah kami. Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling.

Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak. Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang melihat kami. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya, saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam. Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti dicucuk jarum halus apabila ayah pulang.
Dalam rumah pula, selalu muncul serangga seperti belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang, berwarna hijau keperang-perangan dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh kuat dan berdesing. Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah, keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana setiap malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar.
Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti paku mencucuk. Sebelum datang haid, saya ada lebam di paha dan kitaran haid juga tidak normal malah kadang-kadang tiada langsung. Sebelum muncul lebam, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk selain bau darah hanyir.
Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada ayah sebaliknya dimarahi dan memberi pelbagai alasan. Disebabkan terlalu kerap menghidap penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah bagaimanapun mengesahkan kami sihat.
Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal perubatan mengatakan kami terkena sihir. Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah semakin teruk.
Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik berang tanpa sebab hingga kami ketakutan. Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami diberitahu masalah ibu dan saya berpunca daripada 'belaan' keluarga suami. Dia menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian menjaga harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah. Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat.
Pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga ibu terbabit. Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda musibah pelik-pelik.
Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk - selalu demam, tidur malam terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar. Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa, ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar: "Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai 'wali' ketika menuntut. Wali itu menghadiahkan 'khadam' untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat dan berasa gerun. "Selepas datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan.
Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain. "Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua keturunan keluarga ayah," katanya. Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur.
Apabila kami tidur, kadangkala bermimpi melahirkan anak kecil. Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati, kemungkinan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah yang mati pada usia muda. Wallahualam. Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan menyusukan bayi.
Pernah sekali antara sedar dan tidak, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang 'ia' sudah mati dan hendak memeluk saya. Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi bau masih ada. Insiden pelik lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengah hari dan malam. Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan sekeping bumbung (atap) rumah terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah berpinggan-pinggan. Ayah juga ada menyimpan keris kecil yang katanya, pusaka yang harus dijaga rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit.
Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian yang baunya sungguh kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan. Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri dan ketika itu di luar rumah ada bunyi serangga seperti belalang yang berdesing kuat. Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh meninggal dunia selagi 'amalannya' diturunkan kepada waris keturunannya menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu memutuskan hubungan dengan ayah dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan. Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu.
Kini saya menetap di luar negara dan dalam proses membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada tetapi sudah tidak seteruk dulu. Buat masa ini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada. Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini.
Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka jika tidak dibendung membawa mudarat - perpecahan rumah tangga, perceraian suami isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang. Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan Nabi dan Rasul.
INFO: Saka
Saka adalah amalan mewarisi jin atau syaitan untuk membolehkan makhluk halus itu memberikan pemiliknya pelbagai kekuasaan ghaib seperti kekuatan luar biasa, kecantikan, pengaruh dalam masyarakat dan pelbagai lagi.
Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah syirik dan haram di dalam Islam.

Jin yang menjadi saka boleh memperdaya tuannya seperti menjelma di dalam mimpi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat. Akan tetapi ia bagi memastikan manusia itu terpedaya dengannya seterusnya sesat dari Islam.
Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah tetapi kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula pelbagai antaranya menerusi perbuatan seperti bersalaman, menerusi lafaz atau menyerahkan barang tertentu seperti keris, cincin, azimat termasuk kertas bertulis ayat al-Quran.

15. Penduduk Lopburi percaya tuah monyet

MONYET dijamu dengan buah-buahan ketika pesta menjamu monyet di Lopburi.
MONYET di Lopburi, Thailand, memang bertuah. Ketika monyet di sesetengah tempat lain dilapah untuk dijadikan hidangan eksotik atau dibunuh begitu saja kerana dianggap mengganggu manusia, monyet di bandar ini dilayan seperti raja.
Pada 25 November setiap tahun, bandar ini mengadakan pesta menjamu monyet dengan pelbagai makanan seperti buah-buahan, kacang, kentang goreng dan minuman ringan. Perayaan ini mempunyai kaitan dengan kepercayaan orang Thai bahawa memberi makanan kepada monyet adalah cara yang sempurna untuk memperoleh karma yang baik dan mendapat tempat dalam syurga.

Bagaimanapun bagi kebanyakan penduduk Lopburi yang terletak kira-kira 150 kilometer ke utara Bangkok, kehadiran monyet menguntungkan bandar itu. Pemilik hotel, Yongyuth Kijwattananuson, berkata Lopburi tidak mungkin akan terkenal di seluruh dunia jika tidak kerana monyet. “Sama ada rakyat tempatan dari Bangkok atau warga England yang datang sebagai pelancong, beribu-ribu orang datang untuk melihat telatah monyet,” katanya
Bagi ahli perniagaan seperti Yongyuth, kehadiran pelancong sudah tentu bukan hanya untuk melihat monyet kerana mereka juga melawat destinasi pelancongan lain sekitar Lopburi seperti Istana Raja Narai dan empangan Pasak.
Walaupun ada banyak kawasan pelancongan lain yang menarik, monyet adalah daya tarikan utama Lopburi hingga Yongyuth menjadikan monyet sebagai logo hotelnya, Lopburi Inn. Pesta menjamu monyet juga pernah menjadi cara untuk membuat kebajikan.
Ketika kegawatan ekonomi melanda Asia, termasuk Thailand pada akhir 1990-an, mereka yang menderma lebih 999 Bath untuk makanan monyet sebenarnya turut membantu pesakit jantung yang tidak berkemampuan menjalani pembedahan. Yongyuth berkata, hasil kutipan derma pernah menampung kos pembedahan 10 pesakit pada suatu tahun.

Bagi pelancong asing, pengalaman melihat beratus-ratus monyet berebut makanan ternyata amat menarik, apatah lagi apabila dilakukan dalam suatu upacara untuk menghormati haiwan itu. Sejak beberapa tahun lalu, makanan diletakkan di atas kira-kira 100 meja kecil. Ini membolehkan seekor monyet menguasai keseluruhan meja kerana haiwan ini tidak suka berkongsi walaupun makanan di meja itu mencukupi untuk beberapa ekor monyet.
Penonton pula menyaksikan telatah monyet di sekeliling kawasan lapang Wat Prang Sam Yot, iaitu kuil tiga pagoda yang terkenal di Thailand. Saat paling menyeronokkan ialah apabila monyet saling bersaing merebut makanan dan kelihatan tidak tahu makanan yang mana perlu dimakan dulu. Ada yang mengambil makanan lalu dibawa lari ke tempat lain.
Selepas keadaan agak reda, penonton dibenarkan memasuki padang. Ketika ini, monyet dan penonton saling berinteraksi. Ramai yang mengambil peluang untuk memberi makanan dengan tangan dan mengambil gambar. Penonton tidak dikenakan bayaran untuk melihat pesta monyet, malah Yongyuth bermurah hati menyediakan kotak makanan tengah hari. Bagaimanapun ini tidak menghairankan. Yongyuth yang mempunyai tiga hotel dan sebuah pusat membeli-belah di Lopburi juga mendapat keuntungan lumayan. Bilangan penonton yang ramai, terutama pelancong asing bermakna hotelnya sentiasa penuh. Bagi penduduk tempatan, kehadiran monyet sudah menjadi sebahagian kehidupan mereka walaupun haiwan ini agak nakal.
Nasihat kepada orang luar ialah awasi barang yang anda pegang. Monyet Lopburi yang sukakan buah-buahan dan manisan tidak teragak-agak merampas barang di tangan anda. Malah botol bayi pun akan dibawa lari.
FAKTA Monyet Lopburi

Sebahagian besar monyet tinggal di Wat Prang Sam Yot, sebuah kuil Hindu purba.

Monyet bebas ke mana-mana dan dianggap sebagai pembawa tuah kepada Lopburi.

Dianggarkan kira-kira 2,000 ekor monyet mendiami Lopburi.

Pesta menjamu monyet mewujudkan perniagaan kepada penduduk tempatan.
Ahli perniagaan, Yongyuth Kijwattananuson, menaja makanan, chef, pembawa makanan dan penari untuk menjayakan pesta menjamu monyet.

Lebih 2,000 kilogram buah-buahan dan sayur-sayuran dihidangkan ketika pesta.

Saturday, December 22, 2007

14. Pokok gergasi makan manusia


POKOK Venus Flytrap spesis yang menyamai tumbuhan aneh

ILUSTRASI kisah Carl Liche mengenai pokok gergasi.Orang Asli Mkodo di Madagascar serahkan anak gadis kepada tumbuhan aneh sebagai korban

MISTERI membabitkan rahsia hidupan alam yang amat menakutkan dan membingungkan itu bermula dengan sebuah kisah yang ditulis dalam akhbar 'South Australian Register' pada 1881.

Diceritakan pada 1878, seorang pengembara Jerman yang melawat Madagascar iaitu Carl Liche, sempat menyaksikan satu upacara menyeramkan yang dilakukan satu daripada puak Orang Asli di wilayah itu.

Pengembara itu menyaksikan puak Mkodo menangkap seorang daripada anak gadis kumpulan mereka dan 'diserahkan' kepada pokok gergasi yang aneh untuk dimakan sebagai korban!

Dia melihat bagaimana ahli kumpulan itu mengelilingi gadis terbabit sambil menujah lembing tajam ke arahnya dengan niat memaksa wanita malang itu memanjat tumbuhan gergasi berkenaan.

Tidak seperti tumbuhan biasa, pohon aneh yang menyerupai pokok nanas gergasi itu kelihatan menyeramkan dengan bahagian jambul di atasnya dipenuhi jalur hijau seakan sesungut sotong kurita yang mengelilingi takungan berisi cecair tertentu.

Apabila gadis itu sampai di bahagian atas tumbuhan berkenaan, dia dengan berat hati dipaksa meminum cecair yang bertakung di atas pohon berkenaan.

Serentak itu, dengan tiba-tiba tumbuhan berkenaan kelihatan hidup dan bergerak-gerak.

Sesungut hijaunya dengan rakus membelit jasad gadis berkenaan menyebabkan dia menjerit lantang bagi menzahirkan ketakutan yang teramat.

Terkejut dengan situasi itu, Liche menulis gambaran berkenaan dengan ayat berikut:

"Pohon kanibal kejam, yang tadi kelihatan tidak bergerak seolah-olah mati, tiba-tiba menjadi hidup dan mengganas. Sesungutnya yang halus dan kemerahan merayap seumpama ular yang lapar di kepala gadis berkenaan.

"Kemudian, seolah-olah tumbuhan itu mampu berfikir dengan bijak, ia mula membelit kuat tangan dan leher gadis itu. Jeritan ketakutan gadis itu disambut satu bunyian pelik seolah-olah ketawa kejam daripada tumbuhan itu.

"Sesungut tumbuhan itu - satu demi satu yang kelihatannya seperti ular hijau - dengan tenaga yang kuat dan kelajuan yang dahsyat, menjalar sehingga membalut tubuh gadis itu dengan ketat dan kejam seperti ular anakonda yang membelit mangsanya."

Sebaik kisah itu dipaparkan akhbar terbabit, tanda tanya segera tercetus di kalangan ramai pihak berhubung kewujudan tumbuhan aneh yang diceritakan itu.

Lebih membingungkan adalah kisah berhubung tumbuhan misteri yang memakan manusia tidak tertera menerusi kisah berkenaan saja tetapi turut didapati dalam pelbagai kisah legenda di beberapa negara lain antaranya di Amerika Syarikat dan Mexico.

Beberapa tahun kemudian iaitu pada 1924, bekas Gabenor Michigan, Chase Osborn, dalam buku tulisannya bertajuk 'Madagascar, Negeri Pohon Yang Memakan Manusia' mengesahkan kewujudan tumbuhan karnivor berkenaan malah menyatakan bahawa puak Mkodo serta mubaligh yang pernah melawat wilayah itu mengetahui akan wujudnya pohon aneh itu.

Beberapa kenyataan pengesahan itu semakin membingungkan ramai pihak. Fakta yang diketahui ramai adalah tumbuhan tidak mampu bergerak secara bebas dengan sendirinya, apatah lagi untuk memakan dan menelan hidupan lain.

Benarkah wujud tumbuhan karnivor yang mampu bergerak sendiri dan memakan manusia dengan ganas dan kejamnya seperti diceritakan dalam kisah berkenaan?

Keinginan yang membuak-buak bagi mendapatkan jawapan kepada teka-teki berhubung misteri alam itu menyebabkan penyelidik mula meneroka jauh ke dalam hutan di pelbagai pelusuk dunia bagi mencari tumbuhan karnivor terbabit.

Ekspedisi dan pencarian bertahun-tahun akhirnya menemui jawapan yang menggemparkan - tumbuhan yang memakan hidupan lain sememangnya wujud!

Penemuan mengejutkan itu menyebabkan penyelidik biologi terkemuka, Charles Darwin menghabiskan masa selama 15 tahun untuk mengkaji tumbuhan berkenaan yang kemudian dikenali dengan nama saintifik 'insectivores'.

Kajian mendapati, tidak seperti tumbuhan lain yang memperoleh 'makanan' mereka dengan menyerap mineral daripada tanah, tumbuhan karnivor memerangkap haiwan serta serangga dan memakan mereka bagi mendapatkan nutrien.

Tumbuhan jenis ini dapat bergerak dengan sendirinya dan menggunakan pelbagai kaedah untuk memerangkap mangsa mereka.

Tumbuhan 'venus flytrap' atau nama saintifiknya 'Dionaea muscipula' misalnya kelihatan seperti bulatan dedaun kecil di tanah. Di hujung daunnya terdapat bentuk seakan mulut bergigi dan apabila serangga mendarat di atas 'mulut' itu, ia akan pantas tertutup bagi memakan serangga berkenaan. Sebaik tertutup, cecair tertentu segera terhasil bagi melarutkan jasad serangga berkenaan.

Selain venus flytrap, terdapat pelbagai lagi spesies tumbuhan karnivor malah antara tumbuhan karnivor terbesar adalah 'nepenthes' yang banyak tumbuh di Asia Tenggara dan memerangkap serangga, katak dan haiwan sebesar tikus untuk dimakan.

Bagaimanapun, pencarian penyelidik selama bertahun-tahun termasuk di Madagascar masih tidak menemui sebarang tumbuhan karnivor gergasi yang memakan manusia dengan ganas dan kejamnya seperti digambarkan dalam kisah Carl Liche itu.

Tanpa penemuan memberangsangkan, penyelidik termasuk penulis sains, Willy Ley, berpendapat bahawa kisah Carl Liche seperti tertera dalam akhbar South Australian Register itu hanyalah rekaan semata-mata.

Tiada pohon yang memakan manusia di Madagascar, tiada puak Mkodo ditemui di situ malah pengembara Jerman bernama Carl Liche juga didapati tidak pernah wujud di dunia ini.

Mungkin penulis kisah berkenaan mendapat idea selepas melihat bagaimana tumbuhan itu memakan serangga dan kemudian berfantasi kononnya serangga itu adalah manusia.

Walaupun tumbuhan yang memakan manusia dengan ganas dan kejam tidak pernah ditemui melainkan tumbuhan karnivor yang memakan serangga dan haiwan kecil, cerita momokan mengenai tumbuhan ganas itu terus popular sehingga kini sehingga ia kerap diadaptasikan dalam pelbagai karya fiksyen, novel dan filem termasuk 'Jumanji'.

Tuesday, December 18, 2007

13. Magna Carta to go under hammer in New York



Arguably the most important document ever to be auctioned goes on sale Tuesday when the Magna Carta, an 800-year-old English royal manuscript, goes under the hammer at Sotheby's in New York.

The royal charter, dated 1297 and bearing the wax seal of King Edward I, enshrined the rights of man into English law and is considered the precursor of such landmark historical documents as the US Declaration of Independence.

Sotheby's Vice Chairman and Tuesday night's auctioneer David Redden described the vellum manuscript, which is expected to fetch 20 to 30 million dollars, as quite simply "the most important document in the world."

"It's the great-great-great-grandfather of some of the great documents -- at least in America -- of freedom, such as the declaration of independence, the constitution or the bill of rights," he told AFP ahead of the auction.

"All of these have a common ancestor, which is Magna Carta."

The manuscript is the only one of 17 remaining examples ever likely to be sold. Most of the rest belong to Britain's national archives, cathedrals or universities while the only other copy outside Britain belongs to Australia.

The manuscript, most likely made of sheepskin, enshrined the rule of law in England at a time of disagreements between King John and the English barons. It was first issued in 1215 and confirmed as English law in 1297.

Redden described the document, which required the king to accept that he was bound by law in the same way as his subjects, as "the first rung on the ladder to freedom" and "a talisman of liberty."

As well as enshrining the concept that no man is above the law, the document also establishes the right to a speedy trial by a jury of one's peers.

"It's actually amazing that this has come to auction, it's quite remarkable. It's the only time Magna Carta has ever been sold at auction and it's quite possibly the only time it ever will be," Redden explained.

He said that while other documents could possibly rival Magna Carta for historical significance, none were ever likely to be sold, making Tuesday's sale potentially the most important manuscript auction now or in the future.

"There are other extraordinary documents, the draft of the Declaration of Independence in Thomas Jefferson's hand comes to mind, but that will never come to auction," he explained.

Bidders would likely include wealthy individuals or institutions, he said, adding that the US National Archives in Washington, where the document has been on display for most of the past 23 years, would like to see it return.

He hoped that whoever acquired the manuscript would continue making it available for members of the public to appreciate.

"I do think this is one of the great inspirational documents of our civilization and therefore it really doesn't do its work unless it's out in the open where people can see it."

The proceeds from the sale of the Magna Carta -- Latin for "Great Charter" -- are to go to a charity set up by billionaire and twice US presidential candidate in the 1990s, Ross Perot, whose foundation bought it in 1984.

The document previously belonged to the Brudenells of Northamptonshire, England, who owned it since the late 14th or early 15th centuries.

18/12/07

Sunday, December 16, 2007

12. Misteri: Hantu Kelabu RMS Queen Mary


KELIBAT hantu sering dilihat

BILIK komunikasi RMS Queen Mary


Kisah paranormal kapal seberat 60,000 tan lebih menggerunkan dikaitkan dengan kematian seorang anggota bomba pada 1966

KAPAL perang RMS Queen Mary pernah digelar Hantu Kelabu atau "The Grey Ghost" kerana ketika Perang Dunia Kedua, penyamaran dan risikan kerap kali dikaitkan dengan warna kelabu.

RMS Queen Mary disifatkan antara kapal perang yang besar dan laju. Untuk sekali pelayaran, kapal itu boleh memuatkan 15,000 penumpang.

Bagaimanapun, selepas perang tamat dan hampir 60 tahun berkhidmat, RMS Queen Mary masih dikenali sebagai Hantu Kelabu. Malah, ia bukan sekadar nama, sebaliknya terlalu banyak kisah paranormal dilaporkan berlaku dalam kapal itu.

Antaranya, suara kanak-kanak menangis di bilik asuhan yang dulunya digunakan sebagai bilik santai kelas tiga. Selain itu, bunyi kocakan air di kolam renang kelas pertama yang tidak dikunjungi sesiapa.

Juga kisah lelaki tinggi berpakaian serba hitam dan bayangan seorang wanita cantik yang mengganggu anak kapal pada lewat malam.

Kisah hantu di kapal RMS Queen Mary lebih menggerunkan apabila dikaitkan dengan kematian seorang anggota bomba muda, John Pedder, 18, pada 1966. Pedder dikatakan terbunuh ketika pintu di bilik enjin tiba-tiba terbuka dan menghentamnya. Dia mati di tempat kejadian dan hantunya yang dikatakan tidak tenteram sering berkeliaran dalam kapal itu.

RMS Queen Mary sebenarnya dibina ketika kehangatan Jerman melancarkan dua kapal perangnya, Bremen dan Europa. Britain yang tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan pembinaan kapal perang akhirnya mengarahkan Star Line membina sebuah kapal seberat 60,000 tan manakala sebuah lagi syarikat, Cunard membina satu lagi kapal seberat 75,000 tan. Kedua-duanya ketika itu masih belum diberi nama dan hanya dikenali sebagai No 552 dan No 534.

Akhirnya Raja George V bersetuju kapal itu dinamakan RMS Queen Mary, sempena nama isterinya, Mary walaupun pada awalnya Cunard ingin menamakannya Victoria.

RMS Queen Mary dibina oleh dua syarikat, John Brown & Company Shipbuilding dan Engineering Shipyard yang berpangkalan di Clydebank, Scotland pada Disember 1930. Bagaimanapun, pembinaan itu terhenti pada Disember 1931 disebabkan kemelesetan ekonomi.

Cunard kemudian memohon pinjaman Kerajaan British untuk menyiapkan No 534 dan pinjaman itu diluluskan untuk menyiapkan kapal berkenaan manakala bakinya digunakan menyiapkan kapal yang dikenali sebagai No 552. Kapal itu kemudian dinamakan Queen Elizabeth.

Ketika memberi pinjaman kepada Cunard, satu daripada terma pinjaman Kerajaan British menyebut Cunard mesti bergabung dengan White Star Line. Atas persetujuan, kedua-dua syarikat besar itu bergabung pada April 1934. Kerja menyiapkan RMS Queen Mary disambung semula dan akhirnya dilancarkan secara rasmi pada 26 September 1934.

Bagaimanapun, reka bentuk RMS Queen Mary disifatkan sebagai sangat tradisional dan menerima kritikan hebat. Ia dikatakan versi baru yang lebih besar untuk satu lagi kapal perang era Perang Dunia Pertama yang juga dibina oleh Cunard.

Malah, reka bentuk dalamannya yang diberi sentuhan “Art Deco” sangat konservatif berbanding kapal perang milik Perancis. Bagaimanapun, RMS Queen Mary membuktikan semua kritikan itu salah, apabila ia menjadi kapal perang yang terbesar dan boleh mengangkut lebih banyak tentera berbanding kapal perang negara Eropah lain. Kapal itu juga muncul sebagai kapal perang terpantas. Ini terbukti apabila pada Ogos 1936, kapal itu memenangi anugerah untuk kapal terpantas, Blue Riband.

Dalam Perang Dunia Kedua, RMS Queen Mary bukan saja berkhidmat untuk tentera British sebaliknya turut membawa kumpulan tentera Australia dan New Zealand ke United Kingdom.

Oleh kerana saiz dan prestijnya, tentera musuh terutama Jerman ingin sekali melihat ia karam. Malah, Adolf Hitler pernah menawarkan $250,000 kepada tenteranya jika berjaya menenggelamkan RMS Queen Mary.

Selepas perang tamat, RMS Queen Mary akhirnya dijual bagi membolehkan Cunard menambah modal membina kapal baru. RMS Queen Mary ‘menamatkan’ perkhidmatannya pada 1967. Bagaimanapun reputasi Hantu Kelabu tidak berakhir begitu saja. Sepanjang 60 tahun berkhidmat, 49 kematian dilaporkan berlaku di situ. Justeru, RMS Queen Mary kerap kali dirujuk sebagai lokasi roh tidak tenteram berkumpul.

Atas tarikan dan reputasinya, pemilik baru menjadikan RMS Queen Mary sebagai tarikan pelancong. Malah, bukan lagi rahsia apabila dalam usaha menjadikan kapal itu lebih berhantu, beberapa kesan khas yang lebih dramatik dipasang di beberapa lokasi strategik antaranya bilik enjin.

Menerusi lawatan yang dibuka setiap hari, pelancong boleh melakukan siasatan aktiviti paranormal peribadi. Pelancong juga digalakkan mendokumentasikan pengalaman itu. Ketika sambutan Halloween, RMS Queen Mary adalah lokasi berhantu paling popular menerusi aktiviti yang dinamakan “Queen Mary’s Shipwreck’ yang diadakan setiap tahun.

Disebabkan reputasinya, RMS Queen Mary kerap kali menjadi tarikan kumpulan paranormal untuk membuat penyelidikan. Malah, ia pernah dipaparkan dalam pelbagai rancangan televisyen seperti Ghost Hunters. Sebuah rancangan paranormal terbitan British, Most Haunted turut memaparkan misteri RMS Queen Mary. Tidak ketinggalan, siri paranormal terkenal 1998, X Files turut merakamkan satu episod mengenai kapal berkenaan.

FAKTA: RMS Queen Mary kerap kali menjadi lokasi penggambaran filem, siri televisyen dan iklan antaranya termasuk


The Poseidon Adventure (1972).

SOS Titanic (1979).

Iklan kereta Toyota untuk versi Celica All-trac Turbo (1991)

Tidal Wave: No Escape (1997).

Pearl Harbor (2001).

Fiona Apple "O' Sailor" (video).

Rancangan paranormal Britain, Most Haunted (2005).

Siri akhir rancangan bersiri Arrested Development (2006).

National Lampoon's Dorm Daze 2 (2006).

11. Manusia bertukar jadi 'batu' di Pompeii


REAKSI mayat sebelum mereka terbunuh

KANAK! KANAK dan dewasa turut terbunuh dilanda lava


Gunung berapi Vesuvius meletuskan lava, banjiri kota maksiat tanpa batas kaum Osci di tengah Itali

SEKITAR 23 Ogos tahun 79 Masihi (M), keadaan di Pompeii (kini satu kawasan di Itali) kelihatan sibuk sama seperti kota purba lain - penduduknya bergerak ke sana sini, berjual beli dalam bangunan atau gedung agam serta berinteraksi antara satu sama lain.

Sehinggalah tiga hari kemudian, secara tiba-tiba saja satu kejadian misteri melanda kota berkenaan sehingga menyebabkan bangunan dan penduduknya lenyap bagaikan tidak pernah wujud pada muka bumi ini.

Seterusnya selama 1,500 tahun, kewujudan kota Pompeii yang suatu ketika dulu menjadi antara kota terkemuka dalam Empayar Rom, hilang dalam lipatan sejarah. Tiada siapa yang mengetahui kewujudan kota berkenaan.

Masa terus berlalu sehinggalah ketibaan 1594; sekumpulan pekerja diarahkan menggali terowong di kaki gunung berapi Vesuvius bagi projek membekalkan air kepada sebuah kampung berdekatan.

Kerja mengorek tanah dijalankan dengan giat tetapi secara tiba-tiba kumpulan pekerja itu terpaksa menghentikan aktiviti berkenaan selepas menemui sesuatu benda aneh tertanam di dalam tanah.

Tinggalan aneh berbentuk artifak itu dikeluarkan dan berita penemuannya terus tersebar luas menyebabkan semakin banyak kerja cari gali dilakukan di kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 1631, gunung berapi Vesuvius meletus tujuh kali sehingga memusnahkan apa saja yang berada berhampirannya termasuk kawasan penemuan artifak berkenaan.

Tujuh puluh enam tahun kemudian, kerja mengorek kembali dipelopori Putera d'Elboeuf selepas beliau mendengar kewujudan artifak berharga dan harta karun tertanam di kawasan berkenaan.

Pihaknya terus menggali dan pelbagai tinggalan artifak yang pernah ‘terkubur’ di bawah tanah di kawasan berkenaan kembali dikorek keluar. Ketika itulah misteri kehilangan kota Pompeii selama ribuan tahun akhirnya terbongkar.

Bagaimanapun, penemuan kota purba itu turut menimbulkan pelbagai persoalan misteri di kalangan pelbagai pihak terutama pengkaji sejarah.

Malah, lebih mengejutkan adalah selain artifak berupa tembikar dan barangan purba, turut dijumpai di kawasan berkenaan adalah puluhan patung batu berbentuk manusia dalam keadaan menggerunkan.

Antara penemuan aneh itu adalah sekumpulan jasad manusia yang seolah-olah bertukar menjadi patung batu ketika sedang menjamu selera.

Lebih menakutkan adalah kejadian misteri yang melenyapkan kota itu secara tidak langsung turut menyimpan 'wajah' sebenar kota Pompeii apabila turut ditemui puluhan jasad manusia yang sedang mengadakan hubungan seks termasuk seks luar tabii, bertukar menjadi batu.

Malah, jelas kelihatan adalah raut muka penduduk yang menunjukkan ekspresi terkejut dan ketakutan teramat seolah-olah bencana yang terjadi itu datang secara tiba-tiba.

Kajian seterusnya membongkar cerita sebenar mengenai kota Pompeii. Kota itu didirikan sekitar abad ke-6 Sebelum Masihi (SM) oleh kaum Osci atau Oscan iaitu suatu kelompok masyarakat di tengah Itali.

Pompeii kemudian berkembang pesat dan maju dari segi pembangunan. Akan tetapi, di sebalik kemajuan seni bina dan aspek kesenian yang memukau, kota itu sebenarnya membangun sebagai pusat pelacuran serta kegiatan yang melampaui batas kemanusiaan.

Rumah pelacuran dibina dengan jumlah yang tidak terhitung malah alat kelamin lelaki digantung di pintu pusat pelacuran berkenaan.

Masyarakat Pompeii pada ketika itu juga dikatakan mengamalkan kepercayaan 'Mithra' yang menyakini bahawa alat kelamin serta persetubuhan tidak sepatutnya dilakukan secara sembunyi tetapi mesti dilakukan di tempat terbuka.

Selepas lama aktiviti maksiat tanpa batas itu berlarutan di kota berkenaan, secara tiba-tiba gunung berapi Vesuvius yang sebelum itu 'sepi' selama dua juta tahun akhirnya meletuskan lava panas sehingga membanjiri kota itu.

Tiada seorangpun daripada penduduk yang terselamat malah debu tebal bencana itu terus menenggelam serta melenyapkan Pompeii daripada sejarah peradaban dunia malah menukarkan penduduknya seolah-olah menjadi patung batu.

sumber: www.wikipedia.com, http://www.harcourtschool.com/activity/pompeii/index.html, Perished Nation oleh Harun Yahya.


FAKTA: Pompeii

Tapak tinggalan Pompeii kini diiktiraf sebagai satu daripada tapak warisan dunia Unesco

Ketika letusan terjadi, kota Pompeii dianggarkan memiliki penduduk sejumlah 20,000 orang.

Kebanyakan artifak yang ditemui dalam kerja cari gali ditempatkan di sebuah muzium di Naples.

10. Fenomena aneh, seram di Winchester


RUMAH berhantu Winchester di Amerika Syarikat

KELLIE'S Castle antara momokan kononnya rumah berhantu di Malaysia.


Penyelidik percaya kewujudan makhluk paranormal disebabkan roh penghuni terdahulu enggan meninggalkan alam dunia untuk ke alam barzakh

BERLAKU beberapa kejadian aneh yang dilaporkan di Winchester House, sebuah rumah agam di bandar California, Amerika Syarikat (AS), sejak bangunan itu dibina pada lebih 120 tahun lalu iaitu pada 1884.

Pekerja dan pelawat yang memasuki rumah besar itu tidak saja merasakan seolah-olah kehadiran mereka sedang diperhatikan sesuatu entiti yang tidak dapat dikenal pasti tetapi tatkala dalam ketakutan, mereka dihantui pelbagai fenomena aneh lagi menyeramkan.

Kedengaran bisikan suara misteri tanpa punca, bunyi tapak kaki sedang bergerak sedangkan tiada siapa yang kelihatan, pintu dan tingkap terhempas serta tombol pintu dipulas dengan sendirinya.

Mereka juga terlihat kelibat aneh lembaga tertentu berlegar di dalam rumah itu selain secara tiba-tiba saja pekerja atau pelawat merasa sejuk tanpa sebab sehingga meremangkan bulu roma, tatkala berada dalam kediaman berkenaan.

Winchester House yang memiliki sejarah pelik berhubung pembinaannya adalah satu daripada ribuan kediaman berhantu yang dilaporkan wujud tidak saja di AS, malah di seluruh dunia.

Fenomena rumah atau bangunan berhantu sering kali dikaitkan dengan kewujudan makhluk halus atau entiti paranormal di dalamnya. Kebanyakan makhluk mistik itu wujud selepas berlakunya peristiwa tragik dan kejam seperti pembunuhan atau kemalangan maut terhadap bekas penghuni sesebuah kediaman.

Kewujudan makhluk halus di dalam kediaman terbabit kemudian menyebabkan berlakunya gangguan atau aktiviti paranormal yang menakutkan penghuni baru - mereka akan terlihat kelibat lembaga atau bayangan tertentu, kedengaran suara atau bunyian tanpa punca selain peralatan tertentu bergerak dengan sendirinya.

Kisah momokan mengenai rumah atau kediaman berhantu melintasi sempadan benua dan negara kerana ia terdapat hampir di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Sesetengah penyelidik percaya kewujudan makhluk paranormal itu disebabkan 'roh' penghuni terdahulu enggan meninggalkan alam dunia dan kediamannya untuk menuju ke alam barzakh atas sebab-sebab tertentu.

Selain itu, dalam budaya Melayu, gangguan hantu di sesuatu bangunan turut berlaku apabila pemilik saka menemui ajal menyebabkan jin peliharaannya merewang dan mendatangkan gangguan terhadap keluarga atau manusia lain.

Dalam kes Winchester House, kalangan psikik mendakwa kediaman itu menempatkan banyak roh atau 'semangat' di dalamnya menyebabkan berlakunya pelbagai kejadian aneh angkara entiti paranormal berkenaan.

Hakikat itu disokong sendiri sejarah pembinaan rumah terbabit apabila ia dikatakan dibina bagi menempatkan roh orang mati.

Pemilik pertama rumah itu, Sarah Winchester pada mulanya memiliki kehidupan yang bahagia bersama keluarganya yang hidup mewah hasil perusahaan syarikat pembuatan senjata api milik suaminya.

Akan tetapi, secara tiba-tiba pelbagai musibah menimpa dirinya. Anak perempuannya, Annie meninggal dunia pada 1866 diikuti suaminya pada 1881. Daripada seorang psikik, dia diberitahu yang keluarganya sudah disumpah untuk bernasib malang oleh roh orang mati yang menjadi mangsa senjata api keluaran syarikat suaminya itu.

Psikik itu memberitahu bahawa 'ribuan manusia sudah mati akibat ditembak senjata api keluaran syarikatnya dan sekarang roh mereka sedang berusaha untuk membalas dendam'.

Bagi menghentikan sumpahan itu, Sarah diberitahu yang dia perlu berpindah ke barat serta membina kediaman untuk dirinya dan untuk roh mangsa pembunuhan terbabit. Dia tidak boleh berhenti membina rumah berkenaan atau sumpahan itu akan kembali mengejarnya dan Sarah akan mati.

Sejak itu, Sarah berpindah ke California dan mula membina Winchester House tanpa henti, kerja pertukangan dan pembinaan memakan masa 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu selama 38 tahun sebelum wanita itu meninggal dunia.

Daripada sebuah rumah yang kecil, Winchester House akhirnya menjadi sebuah istana atau kota kecil disebabkan proses pembinaannya yang tidak pernah berhenti. Selepas kematiannya, rumah itu kini menjadi antara tapak bersejarah bagi California selain lokasi tumpuan pelancong.

Selain fenomena paranormal, jumlah bilik di dalam kediaman berkenaan turut menjadi misteri kerana jumlahnya berbeza setiap kali ia dikira. Pada suatu ketika, didapati jumlah biliknya adalah 148 tetapi apabila dikira pada waktu lain, jumlah itu menjadi 160 pula.

Selain Winchester House, rumah berhantu turut terdapat di negara kita antaranya Kellie's Castle di Perak selain puluhan rumah usang yang ditinggalkan di seluruh negara.

Membincangkan persoalan rumah hantu, sesetengah penyelidik menyatakan bahawa pihak yang mendakwa mengalami gangguan mistik mungkin mengalami keracunan gas karbon monoksida sehingga menyebabkan mereka mengalami gangguan emosi, keletihan dan berhalusinasi.

Dalam satu kes, pakar mata, Dr William Wilmer, menceritakan pengalaman pesakitnya pada 1921 dalam Jurnal Ophthalmology: "Encik dan Puan H berpindah ke rumah baru apabila mereka mengadu sakit kepala dan keletihan. Di rumah itu, mereka mula mendengar bunyi loceng dan tapak kaki bergerak pada waktu malam. Seterusnya mereka mula merasakan kewujudan kelibat misteri.

"Siasatan kemudian mendapati pemilik rumah sebelum mereka turut mengalami pengalaman sama. Akhirnya, didapati simpton itu berpunca daripada kebocoran gas karbon monoksida daripada relau di dalam rumah berkenaan. Selepas relau itu dibaiki, pasangan berkenaan tidak lagi mengalami 'gangguan' berkenaan," jelas laporan itu.

INFO: Rumah berhantu

wujud kehadiran makhluk halus di dalamnya.
penghuni mendakwa terlihat kelibat tertentu, mendengar bunyi aneh atau peralatan bergerak dengan sendirinya.
kajian sains mendapati penghuni mungkin mengalami keracunan gas karbon monoksida.

9. Monumen buatan di dasar laut


PENYELAM melakukan kajian di bawah permukaan laut

KESAN tinggalan yang ditemui di dasar laut Jepun.


Teori awal pengkaji mendapati piramid dibina di daratan Jepun dipercayai tenggelam akibat dihempas tsunami ribuan tahun lalu

KETIKA pelbagai misteri membabitkan piramid di Mesir dan piramid kaum Maya di Amerika Selatan masih membingungkan penyelidik, satu lagi lokasi piramid ditemui di Jepun sekitar 1990-an malah lebih pelik ia dijumpai di dasar lautan.

Pelbagai persoalan tercetus tatkala melihat piramid berkenaan terus berdiri kukuh di dalam laut melewati masa - siapa yang membina piramid di dalam laut, untuk apa dan bila ia dibina? Mengapa tidak bina saja di atas darat?

Bingung dengan pelbagai persoalan itu, penyelidik mula melakukan kajian bagi membongkar teka-teki yang menyelubungi piramid misteri berkenaan.

Sebelum itu, piramid pertama mula dijumpai di pelbagai wilayah di negara matahari terbit itu sejak 1950-an sekali gus meninggalkan persoalan mengenai hubungan bangunan berbentuk itu dengan tamadun purbakala setempat.

Sejak itu, beberapa lagi piramid purba ditemui ditinggalkan dengan permukaannya tertutup debu dan tanah, dipenuhi pelbagai macam tumbuhan liar sehingga bahagian luarnya tampak seperti sebuah gunung yang tinggi.

Bagaimanapun, sejak Mac 1995, sesuatu yang mengejutkan turut ditemui - penyelam yang menyelam di laut negara itu mendapati piramid tidak saja ada di atas daratan tetapi juga di dalam laut. Mereka menemui lapan lokasi peninggalan piramid sekitar Hiroshima hingga di laut Pulau Yonaguni.

Tapak tinggalan pertama adalah sebuah bangunan empat segi yang tidak begitu jelas bentuk binaannya kerana ditutupi karang sehingga bahagian buatan manusianya tidak dapat dipastikan.

Selepas itu seorang penyelam lain turut menemui sebuah piramid di kedalaman kira-kira 13 meter di bawah permukaan laut Oklahoma Selatan pada musim panas 1996.

Penemuan itu semakin menaikkan semangat pasukan penyelidik untuk membongkar rahsia yang tersembunyi di dalam laut Jepun. Gerakan mencari diperhebat dan kumpulan penyelam kemudian menemui lebih banyak monumen dan bangunan buatan manusia di dalam laut.

Mereka turut menemui kesan jalan yang panjang dan luas, tangga dan pintu melengkung yang tinggi dan megah serta batu raksasa yang dipotong dengan sempurna seolah-olah kawasan itu pernah didiami manusia suatu ketika dulu.

Beberapa bulan kemudian, kalangan arkeologi Jepun sekali lagi menemui bangunan berbentuk piramid yang sangat besar di kedalaman 33 meter di bawah permukaan laut, tidak jauh dari pergunungan Sinaguni yang terletak kira-kira 450 meter dari Hiroshima.

Bangunan raksasa berukuran 80 meter panjang, 200 meter lebar dan 30 meter tinggi itu terletak di sebuah kawasan luas yang kelihatannya digunakan untuk menjalankan upacara tertentu dengan kedua sisinya terdapat pintu menara raksasa.

Pelbagai penemuan itu semakin membingungkan penyelidik - masakan terdapat manusia yang hidup di dalam lautan dan ke mana menghilangnya manusia itu ketika ini?

Ahli arkeologi berpendapat bahawa kewujudan piramid di bawah laut itu mungkin bukti awal adanya peradaban zaman batu di Jepun yang masih belum diketahui sesiapa.

Ahli geologi, Profesor Masaki Kimura yang menjadi pengkaji pertama meneliti misteri itu menyimpulkan bahawa bangunan lima tingkat itu adalah buatan manusia.

"Bangunan ini bukan binaan yang wujud akibat alam semula jadi. Di sekeliling bangunan ada yang mirip seperti jalan dan ini semakin membuktikan bahawa ia adalah buatan manusia," katanya ketika mula mengulas penemuan itu lebih 10 tahun lalu.

Profesor Kimura percaya bangunan itu berusia lebih 5,000 tahun lalu berdasarkan stalaktit yang ditemui gua dalam lautan itu.

Beliau juga berpendapat bahawa masih terlalu awal untuk mengetahui siapa yang membina monumen berkenaan atau apa tujuannya.

"Bangunan ini mungkin istana dewa daripada agama zaman dulu dan digunakan untuk memuja dewa tertentu, sama seperti penduduk Hiroshima yang percaya pada dewa Nirai-Kanai yang dapat mendatangkan kesejahteraan dari laut kepada mereka.

"Berdasarkan catatan, pada 10,000 tahun silam, tidak ada manusia yang mampu membuat monumen seperti ini tetapi kini mungkin ada bukti peradaban manusia yang sebaliknya.

"Hanya manusia yang memiliki teknologi peringkat tinggi baru mampu menyelesaikan projek seperti ini, bangunan yang sebegini raksasa harus menggunakan mesin tertentu baru dapat membinanya," katanya.

Terbaru, profesor itu menampilkan teori terkini selepas meneliti dan menjalankan kajian lebih 10 tahun terhadap piramid berkenaan.

Beliau mengatakan bahawa piramid itu sebenarnya bukan dibina di dalam laut tetapi ia sebenarnya berada di darat tetapi tenggelam di dalam laut akibat dihempas tsunami ribuan tahun lalu.

Bagaimanapun, teori itu masih dipertikaikan penyelidik lain. Rekod menunjukkan tsunami terbesar menghempas Yonaguni pada April 1771 dan ia dianggarkan setinggi 40 meter dan dipercayai mampu menenggelam serta memusnahkan peradaban tepi pantai itu.

sumber: www.nationalgeographic.com, www.erabaru.or.id


FAKTA: Piramid di Jepun

Dipercayai berusia lebih 5,000 tahun lalu.

Satu daripada piramid itu berukuran 80 meter panjang, 200 meter lebar dan 30 meter tinggi.

Selain di Jepun, piramid turut dikesan wujud di Mesir dan Amerika Selatan.

Teori mengatakan piramid itu sebenarnya dibina di darat tetapi tenggelam di dalam laut akibat dihempas tsunami ribuan tahun lalu.

8. Masyarakat Barat fobia angka 13


LIF yang tiada tingkat 13.


TIBA-TIBA saja perasaan pelik dan hairan muncul apabila kita berhadapan dengan situasi berikut:

Sebaik memasuki lif di sebuah bangunan tinggi dan ketika jari ingin menekan butang lif berkenaan, didapati terdapat nombor tingkat yang seolah-olah hilang pada aturannya.

Tingkat nombor 10 ada, nombor 11 ada, nombor 12 pun ada tetapi kemudian terus ke nombor 14. Ke mana menghilangnya tingkat bernombor 13?



Demikianlah keadaan kebanyakan bangunan di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada - bangunan tinggi di kota besar yang terletak di kedua-dua negara terbabit tidak memiliki tingkat bernombor 13.

Situasi berkenaan memang menghairankan tetapi itulah satu fenomena pelik yang melanda kebanyakan masyarakat Barat atau mungkin ramai penduduk di seluruh dunia.

Penduduk terbabit percaya yang 13 adalah angka yang membawa sial, angka yang disumpah dan 'berhantu' sehingga menyebabkan penggunaan angka berkenaan akan membawa malang atau maut kepada mereka yang mengamalkannya.

Kajian terhadap fenomena pelik yang melanda manusia itu menyebabkan fobia terhadap angka 13 digelar 'Triskaidekaphobia' malah lebih pelik adalah wujud pula fobia terhadap hari Jumaat yang jatuhnya pada 13 hari bulan yang diklasifikasikan sebagai 'paraskavedekatriaphobia' atau 'friggatriskaidekaphobia'.

Kepercayaan masyarakat Barat kononnya angka 13 sebagai angka sial, disumpah dan berhantu dipercayai bermula daripada ajaran Kristian apabila Iblis iaitu ketua syaitan pada asalnya dianggap sebagai malaikat ke-13 tetapi ia digugurkan kerana menderhaka kepada Tuhan.t

Selain itu, pada majlis 'Santapan Terakhir' yang dipercayai dalam doktrin agama Kristian, rakan yang mengkhianati Jesus iaitu Judas adalah lelaki yang ke-13 duduk di meja makan.

Ketika ahli sihir Rom purba menyeru kehadiran syaitan pula, mereka akan berkumpul seramai 12 orang dan orang ke-13 yang hadir pada upacara itu adalah jelmaan syaitan.

Sesetengah penyelidik beranggapan bahawa fobia terhadap angka itu berasal daripada kepercayaan tahyul manusia pada zaman kuno. Manusia pada zaman itu dikatakan mengira sehingga nombor 12 atau sedozen dan angka selepas itu iaitu dikatakan mewakili unsur ghaib.

Masyarakat Barat mengira angka yang diberi nama sehingga angka terakhir adalah 12 atau 'twelve' dan angka seterusnya iaitu bermula angka 13, dimulai dengan gabungan angka iaitu 'thirdteen', 'fourteen' dan seterusnya. Kiraan bulan dalam setahun juga sehingga bulan ke-12 dan tidak ada bulan ke-13.

Selain itu, kepercayaan terhadap sumpahan angka 13 turut berasal daripada pegangan kaum Vikings. Dikisahkan bahawa ketika 12 dewa Norse sedang mengadakan majlis makan malam, tiba-tiba datang Loki iaitu dewa yang tidak diundang ke majlis berkenaan.

Loki dianggap tetamu ke 13 pada majlis itu dan menjadi perancang utama pembunuhan Baldr, dewa kegembiraan. Kematian Baldr menyebabkan seluruh dunia menjadi gelap dan hari itu tidak lagi disinari kegembiraan atau dengan kata lain adalah hari itu sial dan malang.

Menerusi kisah berkenaan jugalah wujudlah kepercayaan tahyul kononnya apabila 13 orang berkumpul, maka seorang daripada mereka akan mati.

Fobia itu diperkuatkan lagi dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku membabitkan angka 13 terutama membabitkan hari Jumaat yang jatuh pada tarikh hari itu.

Penahanan dan pembunuhan pasukan Knights Templar dalam perang salib berlaku pada hari Jumaat, 13 Oktober 1307.

Pada Jumaat 13 Oktober 1066 juga menjadi hari terakhir pemerintahan King Saxon Harold II sebelum dia dibunuh Duke of Normandy, William.

Ekspedisi ke bulan menggunakan pesawat Apollo 13 dianggap gagal kerana ia menyandang nombor 13 malah diterbangkan pada jam 13:13 EST pada 11 April 1970. Seorang lelaki iaitu Arnold Schoenberg yang menderita triskaidekafobia didapati lahir dan meninggal pada tanggal 13 hari bulan.

Disebabkan berlakunya pelbagai kejadian aneh itu menyebabkan semakin ramai percaya bahawa 13 adalah angka yang disumpah dan berhantu manakala hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan dianggap hari yang sial oleh penganut Kristian termasuk masyarakat British, Jerman, Polish, Bulgaria dan Portugis.

Malah, fobia terhadap angka berkenaan tidak saja melanda orang bawahan tetapi pengarah syarikat dan kalangan intelektual. Akibatnya ada pengusaha syarikat penerbangan yang tidak menyediakan kerusi penumpang bernombor 13, syarikat pembinaan yang tidak membina bangunan yang memiliki tingkat 13, pintu ke-13 atau premis bernombor 13.

Dalam perlumbaan Formula One dan banyak perlumbaan lain, tiada kenderaan yang membawa nombor 13 malah syarikat program komputer, Microsoft digembar-gembur kononnya melangkau versi produk Microsoft Office ke 13 mereka disebabkan fobia berkenan. Daripada Microsoft Office 12, mereka dijangka akan terus mengeluarkan Microsoft Office 14.

Institut Fobia dan Pengurusan Tekanan AS di Utara Carolina menyatakan bahawa pelbagai industri di negara itu kerugian antara AS$800 hingga AS$900 juta pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan berikutan ramai penduduk enggan menaiki penerbangan atau keluar rumah pada hari itu.

Justeru, benarkah angka 13 adalah angka yang sial, disumpah atau berhantu? Persoalan itu saya ajukan kepada seorang rakan yang kerap menggunakan angka 13 dalam kehidupannya. Jersi sukannya bernombor 13, nombor telefonnya juga memiliki angka 13 dan banyak lagi kaitan nombor itu dengannya.

Jawapan yang diberikan oleh rakan saya itu adalah: "Tak ada apa-apa yang berlaku pun...'"

sumber: www.wikipedia.com, www.nationalgeographic.com, www.crystalinks.com

INFO: Fobia terhadap angka

Selain angka 13, ada masyarakat China, Jepun dan Korea yang fobia terhadap angka empat kerana dalam bahasa Mandarin atau bahasa Tionghua, sebutan 'empat' dan 'mati' adalah sama. Sebilangan pihak masih memutarbelitkan fakta ini dengan menyebut bahawa angka '4' disebabkan dari angka 13 yang dicampur iaitu '1+3 = 4'.
Dalam budaya masyarakat Itali, angka 17 dianggap sial atau disumpah. Angka roman 17 atau XVII boleh ditukar kepada VIXI yang bermaksud 'saya pernah hidup' dalam bahasa latin atau maksudnya 'sekarang saya sudah mati'.
Di Sepanyol, 13 turut dianggap angka yang sial tetapi bukan pada hari Jumaat. dalam kepercayaan mereka, hari Selasa yang jatuh pada 13 hari bulan dianggap hari yang sial atau disumpah.

7. Dunia ikan duyung masih dicari


RANGKA kononnya ikan duyung yang dipertontonkan di Sydney, Australia pada 1999.

DUGONG sering dianggap ikan duyung.


Kemajuan sains, teknologi hanya mampu bawa manusia pada kedalaman 4,000 meter di dasar laut

KETIKA belayar berhampiran Haiti pada 1493, Christopher Columbus dan anak kapalnya melihat tiga makhluk aneh timbul daripada permukaan laut yang luas.

Tanda tanya dan kehairanan tercetus pada minda mereka tatkala melihat wajah dan bentuk fizikal makhluk terbabit yang jelas berlainan sekali dengan makhluk yang pernah wujud di dunia ini.

Ketika mereka mencari jawapan, tiga makhluk terbabit kembali menyelam ke dalam lautan luas serta meninggalkan kumpulan pelayar di atas kapal itu terpaku kebingungan.

Pengalaman pelik itu terus menghantui Columbus sepanjang kehidupannya malah dalam satu jurnalnya, pelayar Sepanyol itu mencatatkan fizikal makhluk itu: "Entah mengapa, wajah makhluk itu menyerupai manusia..."

Catatan Columbus itu seterusnya menimbulkan persoalan kepada penyelidik dan pengkaji sejarah pelayaran lelaki itu sehingga kepada orang kebanyakan.

"Masakan terdapat manusia yang hidup dan tinggal di dalam lautan," fikir mereka tatkala membaca catatan Columbus berhubung fenomena misteri itu.

Catatan enigma pelayar yang terkenal kerana menjumpai benua Amerika itu kemudian membawa pemikiran penyelidik dan orang kebanyakan kepada satu mitos yang sudah lama diperbincangkan - mungkinkah makhluk yang dilihat Columbus dan anak kapalnya itu adalah ikan duyung?

Terlalu banyak misteri dan mitos yang menceritakan mengenai ikan duyung tetapi tatkala meneliti catatan Columbus itu, ia menambahkan lagi teka-teki sama ada kewujudan makhluk itu benar atau sekadar dongeng.

Mitos sebelum itu menyatakan bahawa ikan duyung adalah makhluk air yang memiliki kepala dan tubuh bahagian atas seperti manusia manakala bahagian bawahnya berupa ekor ikan.

Ia hidup di dasar laut tetapi apabila naik ke darat, ekornya bertukar menjadi kaki manusia dan makhluk itu akan menjadi bisu.

Cerita mengenai ikan duyung wujud dalam cerita dongeng kebanyakan bangsa di dunia. Dalam mitologi Yunani, ikan duyung dikatakan selalu menggoda pelaut yang lalai dan sesiapa yang tergoda akan menemui ajalnya.

Masyarakat Babilona pula menyembah ikan duyung sebagai tuhan atau dewa laut yang dikenal sebagai 'Ea' atau 'Oannes'. Oannes digambarkan sebagai ikan duyung jantan.

Selain Columbus, seorang lagi pelayar, Henry Hudson mendakwa turut terserempak dengan ikan duyung pada 1608 ketika dia dan dua rakannya sedang belayar di lautan di utara Russia.

Lelaki itu menggambarkan ikan duyung yang ditemui mereka memiliki bahagian atas jasad seperti manusia, berambut panjang tetapi bahagian jasad bawahnya adalah ekor ikan.

Daripada dakwaan terserempak dengan makhluk aneh itu, misteri membabitkan ikan duyung semakin membingungkan apabila ada pihak yang mendakwa berjaya merakamkan gambarnya malah menangkap jasad makhluk itu.

Semakan menerusi internet mendapati ada pihak daripada merata dunia mendakwa menemui jasad ikan duyung, tetapi keaslian gambar yang tertera dalam beberapa artikel itu tidak dapat dipastikan.

Selain gambar, terdapat juga 'jasad' kononnya ikan duyung yang dipertontonkan dalam pameran tertentu tidak saja di Malaysia tapi di pelbagai negara lain.

Pelbagai teori dan andaian dikemukakan berhubung misteri kewujudan ikan duyung. Antaranya ia dikatakan sebagai spesies hidupan yang mistik dan hanya muncul di dunia manusia, sekali dalam beberapa ratus tahun.

Teori ala fiksyen pula menyatakan bahawa ikan duyung sebenarnya adalah penduduk Atlantis yang menemui teknologi untuk hidup di dalam lautan selepas kota mereka tenggelam puluhan ribu tahun lalu.

Bagaimanapun, jika diteliti kepada penerokaan lautan dalam dan pencarian spesies hidupan baru ketika ini, satu hakikat yang pasti adalah saintis masih belum mampu menerokai ke dasar paling dalam di lautan.

Sehingga kini, kemajuan sains dan teknologi hanya mampu membawa saintis meneroka ke dalam laut dengan kedalaman sekitar 4,000 meter dan setiap kali mencecah kedalaman baru, banyak spesies baru yang aneh dan misteri turut ditemui.

Saintis percaya dunia lautan yang meliputi kira-kira 70 peratus muka bumi memiliki sekitar dua bilion hidupan berlainan spesies tetapi sehingga kini, spesies yang berjaya dikenal pasti dan direkodkan dipercayai masih belum mencecah satu peratus.

Berikutan itu, mungkinkah ikan duyung juga sebenarnya wujud tetapi berada di dasar laut yang paling dalam dan masih belum diterokai manusia?

Kalangan skeptikal menolak kewujudan ikan duyung sebagai satu spesies misteri yang belum ditemui sebaliknya mereka berhujah bahawa gambaran rupa dan jasad ikan duyung seperti diceritakan pihak tertentu sebenarnya disalah tafsirkan.

Mereka percaya bahawa pihak yang mendakwa menemui ikan duyung termasuk Columbus sebenarnya terlihat sejenis spesies hidupan laut yang digelar 'dugong'.

Ini berikutan dugung memiliki rupa yang agak menyerupai manusia malah turut menyusukan anaknya.

Malah, seorang penyelidik, Frank Buckland, pernah menjalankan kajian terhadap satu jasad makhluk kononnya ikan duyung yang dipamerkan sekitar abad ke-19.

Bagaimanapun, beliau mendapati bahagian atas jasad berkenaan iaitu tengkorak, rangka dan lengan sebenarnya milik seekor monyet dan bahagian itu dicantumkan dengan bahagian tulang ekor ikan yang besar.

Sehingga kini, misteri kewujudan ikan duyung masih diperdebatkan. Pihak skeptikal terus menafikannya manakala setengah pihak lagi percaya ia adalah spesies hidupan misteri yang masih belum ditemui.

Mungkin pada suatu hari nanti, kemajuan sains dan teknologi membolehkan manusia meneroka keseluruhan lautan, maka tidak mustahil yang jawapan kepada misteri ini akan diperoleh.

Sumber: www.wikipedia.com, www.unexplained-mysteries.com.

6. Bigfoot masih misteri


ANTARA replika tapak kaki Bigfoot.

KELIBAT Bigfoot yang didakwa berjaya dirakam.

Kewujudan monyet gergasi di Malaysia jadi tanda tanya kerana jasadnya belum ditemui

DI MANA menghilangnya Bigfoot yang digembar-gemburkan wujud dan bersembunyi di sebalik rimbunan hutan Khatulistiwa di negara ini sekitar 2006?

Mungkin itu persoalan yang tercetus pada minda kebanyakan rakyat negara ini tatkala memikirkan mengenai misteri spesies hidupan misteri itu.

Sejak beberapa pihak mendakwa pernah terserempak dengan makhluk misteri itu sekitar hutan Johor, kisah berkenaan dengan pantas mencetuskan fenomena menggemparkan tidak saja di kalangan masyarakat negara ini malah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ramai pihak termasuk pengkaji Bigfoot antarabangsa menjejakkan kaki di belantara negara ini untuk memburu makhluk berkenaan dengan harapan dapat membongkar misteri kewujudan makhluk itu yang sudah terlalu lama membingungkan ramai pihak.

Bagaimanapun, seperti juga buruan di kebanyakan kawasan lain di seluruh dunia, misteri kewujudan Bigfoot di hutan Semenanjung Malaysia, masih kekal sebagai misteri sehingga kini lantaran masih tiada jasad makhluk aneh itu ditemui.

Walaupun operasi mencari selain penyelidikan besar-besaran dilakukan bagi membongkar enigma yang terselindung di sebalik rimbunan belantara berkenaan, tiada siapa yang pernah menangkap spesies hidupan itu hidup-hidup.

Menyingkap fenomena ketika itu, laporan media dan akhbar secara berterusan menyebabkan kisah Bigfoot di hutan Malaysia menjadi berita sensasi selama berbulan-bulan lantaran jika benar Bigfoot wujud di negara ini, maka ia akan mencatat sejarah kepada misteri dunia.

Seterusnya laporan yang diberikan akhbar sehari ke sehari menyebabkan pemantauan di hutan Johor diperketat bagi mengesan kehadiran makhluk berkenaan.

Sepasukan saintis dan pakar tempatan juga ditubuhkan Kerajaan Johor pada Januari 2006 bagi menjalankan ekspedisi mengesan makhluk itu malah sepasukan penyelidik di peringkat antarabangsa turut 'turun padang' bagi memburu Bigfoot di Malaysia.

Bagaimanapun, melewati masa sehinggalah ke saat ini, masih tiada penemuan sebenar mengenai makhluk itu menyebabkan Bigfoot kekal menjadi antara misteri dunia yang masih tersimpan rapi.

Misteri kewujudan makhluk misteri setinggi antara dua meter hingga 3.6 meter itu tidak hanya wujud di sesebuah negara; membuktikan ia bukanlah legenda sesuatu kaum.

Makhluk besar berbulu itu dikatakan bersembunyi di hutan atau wilayah yang sukar dijangkau manusia, di seluruh dunia. Di Amerika Utara, ia dikenali sebagai Bigfoot atau Sasquatch. Di Asia, terutama kawasan Himalaya, ia digelar Yeti manakala di kawasan Amazon, Amerika Selatan gelarannya adalah Mapinguari. Yowie adalah nama makhluk itu di Australia.

Pelbagai pendapat dikemukakan mengenai haiwan itu antaranya teori Bigfoot-Giganto yang menyatakan makhluk itu mungkin sejenis monyet gergasi prasejarah yang hidup ketika zaman Pertengahan Pleistocene.

Monyet gergasi itu dipercayai hidup di beberapa kawasan Asia termasuk China dan Asia Tenggara serta Amerika Utara sejak zaman purba. Bagaimanapun, akibat suatu faktor misteri, spesies purba itu akhirnya pupus daripada muka bumi sekitar 200,000 hingga 500,000 tahun dulu.

Akan tetapi, terdapat segelintir kumpulan monyet gergasi itu yang terselamat daripada pupus dan menyembunyikan diri daripada pengetahuan dunia sehingga kini. Kumpulan monyet itulah yang didakwa sebagai kumpulan Bigfoot yang sedang dijejaki misterinya sehingga kini.

Ramai mendakwa terserempak dengan Bigfoot dan mereka menggambarkan makhluk itu bertubuh tegap dan besar; gigi besar; mata warna merah; bulunya berwarna perang gelap atau merah kehitaman yang panjang meliputi seluruh tubuh.

Bigfoot dikatakan tidak menyerang atau mengganggu manusia sebaliknya malu jika terserempak dengan manusia malah sering berpindah kawasan. Ia hanya makan pucuk kayu muda dan akan menggosok badannya pada pokok bagi menghilangkan kegatalan pada tubuh.

Makhluk yang dikenali sebagai 'Orang Mawas', 'Orang Utan', 'Hantu Jarang Gigi' dan 'Siamang' di kalangan masyarakat Orang Asli Johor itu juga hidup dalam kumpulan iaitu satu keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak.

Kisah terawal mengenai Bigfoot dilaporkan pada 1811 apabila seorang juru ukur Kanada mendakwa menemui jejak kaki besar dipercayai milik makhluk itu di Jasper, Kanada.

Gelaran 'Bigfoot' (kaki besar) kemudian digunakan secara meluas oleh media selepas wujud satu lagi penemuan di Bluff Creek, California, pada 1959.

Foto Bigfoot paling terkenal diambil pada 1967 di California Utara, Amerika Syarikat, bagaimanapun keasliannya masih diperdebatkan.

Dakwaan kewujudan Bigfoot hanya tersebar menerusi dakwaan sesetengah pihak yang pernah terserempak dengan spesies misteri itu selain beberapa gambar yang kononnya berjaya merakamkan kelibat makhluk itu.

Selain daripada dakwaan dan gambar itu, tiada lagi dijumpai jasad sebenar Bigfoot untuk dipertontonkan kepada umum sekali gus mencetuskan misteri sama ada kewujudannya benar atau sekadar momokan.

Bagaimanapun, memikirkan sama ada Bigfoot wujud atau tidak; mungkin boleh dilihat daripada persepsi begini - masih ada banyak spesies hidupan yang tidak diketahui manusia, malah setiap tahun, ada saja spesies hidupan baru yang direkodkan dalam katalog hidupan biologi dunia.

Berikutan itu, maka tidak mustahil adanya hidupan di bumi yang masih tidak diketahui manusia dan mungkin Bigfoot adalah satu daripada spesies itu.

Bagaimanapun, kajian dan pemburuan untuk membongkar misteri kewujudan Bigfoot masih diteruskan. Pelbagai usaha dilakukan pengkaji fenomena paranormal ini dan manusia hanya mampu berharap untuk menemui makhluk itu suatu hari nanti atau Bigfoot akan terus kekal misteri, sama seperti kesahihan kewujudan UFO.

FAKTA: Bigfoot

Spesies makhluk misteri yang fizikalnya menyerupai monyet atau gorila.
Misteri makhluk aneh ini mula wujud pada 1811 apabila seorang juruukur Kanada mendakwa menemui jejak kaki besar dipercayai milik makhluk itu di Jasper, Kanada.
Gelaran 'Bigfoot' kemudian digunakan secara meluas oleh media selepas wujud satu lagi penemuan tapak kaki besar di Bluff Creek, California, pada 1959.
Foto Bigfoot paling terkenal diambil pada 1967 di California Utara, Amerika Syarikat, bagaimanapun keasliannya masih diperdebatkan.

5. Zombie wujud di Haiti



ZOMBIE menyerang manusia untuk memakan daging dan otak mereka.


Pengkaji Kanada bongkar ramuan rahsia pawang voodoo 'mematikan' dan 'hidupkan' mayat

TERDAPAT kepercayaan aneh di kalangan penduduk kepulauan Haiti bahawa jasad seseorang yang sudah mati boleh ‘dihidupkan’ menerusi upacara mistik tertentu.

Kaedah aneh itu dilakukan ahli sihir atau pawang yang mengamalkan ilmu hitam voodoo di negara terbabit dan selepas menjalani upacara mistik itu, mayat seseorang yang sudah mati akan kembali 'hidup' dan mampu bergerak.



Akan tetapi, mayat yang 'dihidupkan' itu tidak lagi mampu berfikir atau memiliki perasaan seperti manusia biasa. Fizikalnya juga kekal menyerupai jasad pucat tidak bernyawa dan ia bergerak perlahan bagaikan boneka atau robot yang dikawal pawang terbabit.

Bagaimanapun, kesahihan dan kaedah mistik bagi menghasilkan mayat hidup atau digelar 'Zombie' itu dirahsiakan pihak terbabit daripada pengetahuan umum menyebabkan ia terus menjadi misteri yang membingungkan pelbagai pihak.

Tanda tanya yang tercetus tatkala mendengar amalan misteri itu menyebabkan Zora Neale Hurston cuba menjejaki kesahihan kaedah mistik berkenaan di Haiti sekitar 1937. Akan tetapi usaha penulis Amerika Syarikat itu gagal apabila tiada sesiapa yang mahu membongkarkan rahsia amalan voodoo berkenaan kepadanya.

Apa yang diperoleh Hurston sepanjang pencariannya hanyalah sebuah cerita Zombie yang menghantui pulau berkenaan sekitar 1940-an:

Diceritakan pada 1907, seorang penduduk negara pulau itu iaitu Felicia Felix Mentor, meninggal dunia pada usia muda iaitu 29 tahun. Dia kemudian dikebumikan dan namanya mula lesap daripada ingatan penduduk Haiti sehinggalah 30 tahun selepas itu.

Penduduk di negara itu mula dikejutkan dengan peristiwa aneh lagi menyeramkan apabila ada antara mereka mendakwa melihat Mentor merayau-rayau dalam keadaan bingung di beberapa jalan di negara itu.

Penduduk berasa takut dan seram tatkala memikirkan yang Mentor sudah meninggal dunia sekitar 30 tahun lampau. Justeru bagaimana mayat yang sudah ditanam, kembali ‘hidup’ dan dapat merayau-rayau?

Kecewa dengan hasil pencariannya menyebabkan Hurston menulis dalam catatannya: "Jika sains dapat mengkaji sedalam-dalamnya rahsia amalan ilmu hitam voodoo di Haiti dan Afrika, pasti akan dijumpai rahsia penting dalam kaedah perubatannya (sehingga mampu membuatkan mayat kembali hidup) yang masih tidak diketahui sains perubatan moden. Voodoo memiliki kekuasaan tertentu yang nyata melebihi upacara semata-mata."

Beberapa dekad selepas kegagalan Hurston membongkar rahsia penghasilan mayat hidup itu, seorang lelaki, Clairvius Narcisse yang sudah diisytiharkan mati di Hospital Albert Schweitzer Deschapelles pada 2 Mei 1962, muncul secara tiba-tiba di sebuah kampung pada 1980.

Kehadiran Narcisse bersama bukti bahawa dia sudah meninggal dunia selama 18 tahun sebelum dibangkitkan seorang pawang voodoo mula menggemparkan penduduk dan penyelidik yang mula memikirkan bahawa upacara menghidupkan Zombie sememangnya wujud di pulau itu.

Kegemparan kembalinya Narcisse sebagai Zombie menyebabkan seorang ahli entobotani Kanada, Wade Davis menjejakkan kakinya di Haiti pada 1982 dengan harapan untuk membongkar kesahihan kewujudan Zombie.

Lelaki itu mula melakukan penyiasatan dan penyelidikan bagi membongkar kebenaran upacara rahsia bagi menghidupkan Zombie. Selepas lama menyelidik, akhirnya Davis tersenyum gembira, dia yakin yang dia sudah berjaya membongkar rahsia di sebalik cerita misteri Zombie yang menyelubungi pulau itu selama puluhan tahun.

Pemerhatiannya mendapati ahli sihir dan pawang di Haiti menggunakan ramuan khas dalam upacara voodoo termasuk bagi merawat penduduk yang cedera dan sakit. Seterusnya Davis mula mendapatkan lapan sampel ramuan itu daripada empat wilayah di pulau berkenaan untuk dikaji kandungannya.

Hasil kajiannya mendapati ramuan berkenaan yang diperbuat daripada campuran tumbuhan dan haiwan tertentu seperti labah-labah, cicak, ikan buntal, katak, selain tulang manusia menjadi punca kewujudan kisah Zombie.

Dia mendapati ramuan berkenaan mengandungi racun 'Tetrodotoxin' yang menyebabkan seseorang yang terkena bahan itu akan menjadi lumpuh, kelihatan seperti sudah mati dan menjadi mayat untuk suatu tempoh tertentu.

Keadaan itu menyebabkan keluarga pesakit menyangka penduduk berkenaan sudah meninggal dunia. 'Mayat' itu kemudian didatangi pawang yang kononnya melakukan upacara menghidupkan Zombie tetapi pada masa sama, kesan racun Tetrodotoxin mula hilang dan pesakit berkenaan kembali pulih daripada lumpuh.

Keadaan itu bagaimanapun kelihatan seperti pesakit terbabit kembali hidup selepas mati dan pawang berkenaan seolah-olah menjalankan upacara bagi menjadikan mereka Zombie.

Davis juga menjumpai satu lagi ramuan pawang di pulau itu yang menyebabkan seseorang yang terkena ramuan berkenaan menjadi kebingungan atau tidak berperasaan.

Kemungkinannya selepas pesakit terbabit kembali pulih daripada lumpuhnya, pawang berkenaan memberi ramuan kedua kononnya sebagai ubat yang menyebabkan pesakit tadi kelihatan tidak berperasaan seumpama mayat hidup.

Bagaimanapun, melewati masa, kepercayaan wujudnya Zombie sebagai jasad manusia yang sudah mati tetapi dihidupkan semula mula tersebar ke seluruh dunia dan momokan cerita seram itu menjadi popular dan diminati di pelbagai negara.

Ia mula diadaptasi ke dalam novel seram, permainan video sehinggalah pembikinan filem termasuk 'Resident Evil' yang ditayangkan di pawagam seluruh negara, baru-baru ini.

sumber: www.wikipedia.com, http://science.howstuffworks.com

FAKTA: Zombie

Momokan Zombie yang paling popular datangnya dari kepulauan Haiti.

Dikatakan mayat yang dihidupkan semula.

Zombie akan makan daging dan otak seseorang yang hidup. Mereka bagaimanapun bergerak dengan perlahan.

Selain kepulauan Haiti, kisah hantu Zombie atau mayat hidup turut terdapat dalam kepercayaan masyarakat China, Japan, India dan Amerika kuno.

4. Mitos orang kenit cetus kekeliruan


MAKHLUK kenit sepanjang 7.2 sentimeter yang ditemui di Chile pada 2002.

JENGLOT dikatakan antara spesies makhluk kenit.


BENARKAH orang kenit wujud? Persoalan itu sering difikirkan tatkala mendengar kisah makhluk berkenaan dalam cerita dongeng di merata dunia.

Orang kenit digambarkan sebagai makhluk seakan-akan manusia tetapi bersaiz amat kecil; mungkin sekecil semut atau sebesar tikus tetapi yang nyata ia amat kecil berbanding manusia.

Mengikut kisah dongeng, orang kenit kerap menyembunyikan diri daripada manusia kerana takut dicederakan atau menjadi mangsa manusia yang berganda lebih besar daripada mereka.

Bagaimanapun, seperti juga persoalan sama ada wujud gergasi, teka-teki mengenai kewujudan orang kenit terus kekal misteri yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Adakah ia sememangnya wujud sebagai satu daripada spesies hidupan misteri yang masih belum ditemui manusia atau sekadar makhluk khayalan dalam kisah dongeng? Persoalan orang kenit nyata masih membingungkan.

Ketika minda kebanyakan kita lebih menjurus memikirkan orang kenit tidak wujud dan hanya kisah dongeng, satu penemuan menggemparkan dilaporkan di Indonesia sekitar 1970-an.

Ketika melihat bentuk fizikal 'Jenglot' yang amat kecil, banyak pihak mula beranggapan itulah orang kenit yang sering diceritakan sebelum ini. Lalu mereka mula yakin bahawa orang kenit sememangnya wujud dan buktinya adalah Jenglot.

Bagaimanapun saintis akhirnya membuktikan bahawa Jenglot bukanlah spesies hidupan tetapi lebih berupa 'patung' yang diperbuat daripada cantuman bangkai haiwan.

Ia sekali gus mengubah tanggapan ramai pihak dan mereka kembali ragu untuk mengesahkan bahawa orang kenit itu wujud.

Bagaimanapun, misteri berhubung makhluk itu kembali membingungkan apabila satu lagi bukti dikatakan ditemui di Chile pada Oktober 2002 apabila seorang kanak-kanak dikatakan menemui spesies makhluk kenit ketika bercuti bersama keluarganya di Concepcion iaitu sebuah bandar di Selatan negara itu.

Makhluk yang fizikalnya seakan manusia itu cuma sepanjang 7.2 sentimeter dan memiliki kepala besar, dua tangan dengan kuku panjang serta dua kaki kecil.

Makhluk itu ditemui dalam semak oleh kanak-kanak berkenaan. Sebaik melihat makhluk kenit aneh berkenaan, kanak-kanak terbabit memungut dan membalutnya dengan kertas sebelum dibawa pulang.

Kanak-kanak itu, Julio Carreno, mendakwa yang makhluk terbabit hidup selama lapan hari selepas ditemui. Selepas tempoh berkenaan, akibat sebab tertentu, ia tidak lagi dapat membuka matanya.

Menyangka makhluk itu sakit, Julio dan keluarganya membawa orang kenit itu berjumpa doktor haiwan untuk menjalani pemeriksaan. Akan tetapi sebaik menunjukkan makhluk berkenaan kepada pengamal perubatan, doktor yang ditemui nyata tergamam kebingungan.

"Doktor hairan melihat makhluk ini; dia memberitahu kami yang makhluk ini amat pelik dan dia tidak tahu apakah ia sebenarnya," kata Julio.

Tidak lama kemudian, makhluk itu mati. Bagaimanapun sesuatu yang pelik mula berlaku. Selepas beberapa hari tidak bernyawa, jasad makhluk kenit itu mula mengering dengan cepat; ia terawet dengan sendiri sehingga menjadi seakan mumia.

"Ia bertukar warna sejak kami menemuinya. Pada asalnya ia lebih berwarna merah jambu tapi kini lebih gelap," kata kanak-kanak itu lagi.

Penemuan spesies makhluk aneh itu dengan cepat mencetuskan kegemparan di kalangan masyarakat termasuk wartawan yang mengunjungi rumah keluarga itu. Penyelidik turut datang untuk menjalankan kajian.

Di hadapan sekumpulan wartawan, Julio menunjukkan jasad mumia orang kenit itu. Dia mula membuka peti rawatan kecemasan dan seketika kemudian, kelihatan jasad makhluk aneh yang terawet terletak di atas kapas, di dalamnya.

"Makhluk apakah ini?" mungkin persoalan itulah yang bermain di minda mereka. Saiz kepala yang lebih besar daripada badan benar-benar menarik tumpuan. Kuku jari makhluk itu pula kelihatan agak panjang.

"Kuku itu seperti terus memanjang," kata-kata diucapkan kanak-kanak itu semakin membingungkan. Mana mungkin kuku hidupan yang sudah mati boleh terus memanjang?

Hampir keseluruhan fizikal makhluk itu kelihatan terawet seperti mumia. Jasadnya juga kelihatan rapuh dan mudah berkecai jika dipegang menyebabkan orang kenit itu diletakkan di atas kapas di dalam peti rawatan kecemasan.

Ada yang beranggapan kanak-kanak itu sudah menjumpai orang kenit yang selama ini hanya disebut dalam mitos dan cerita dongeng. Pihak lain mendakwa makhluk yang ditemui Julio itu adalah makhluk asing.

Beberapa penyelidik turut melakukan pemerhatian bagi membongkar misteri di sebalik spesies hidupan misteri itu. Bagaimanapun selepas menjalankan pemerhatian, mereka berasa skeptikal bahawa makhluk itu adalah orang kenit, makhluk asing atau sejenis spesies hidupan misteri yang masih belum ditemui di dunia ini.

Sebaliknya, pengkaji termasuk dari Universiti of Chile beranggapan makhluk itu mungkin fetus sejenis hidupan liar seperti kucing hutan.

Pengkaji dari Universiti of Sonto Tomas mengatakan ia adalah sejenis hidupan seakan tupai iaitu 'monito de monte' yang berasal daripada spesies mamalia kecil yang tinggal di hutan hujan Valdivian serta kerap menyembunyikan diri pada waktu siang. Penyelidik lain pula berpendapat bahawa makhluk itu adalah anak tikus kecil.

Bagaimanapun, pelbagai hujah daripada penyelidik itu hanyalah teori berasaskan pemerhatian luaran saja. Tiada kajian lanjut dilakukan menyebabkan penyelidik gagal mengenalpasti spesies haiwan sebenar berhubung makhluk kenit itu.

Ia sekali gus meninggalkan persoalan sama ada jasad makhluk itu adalah anak haiwan liar seperti kucing hutan, monito de monte dan tikus atau ia sememangnya orang kenit yang selama ini banyak diceritakan dalam kisah dongeng, kekal sebagai misteri.

sumber: http://www.mendhak.com/paranormal/ufo

3. Masyarakat percaya pesakit dirasuk kerana dikatakan menceroboh 'kediaman' makhluk ghaib



MANGSA histeria seolah-olah dapat melihat kelibat makhluk halus

Masyarakat percaya pesakit dirasuk kerana dikatakan menceroboh 'kediaman' makhluk ghaib

"HISTERIA bermula apabila seseorang itu memendam tekanan perasaan yang berpanjangan sehinggalah pada suatu ketika, tekanan itu tidak mampu lagi dipendam dalam hati dan melebihi had yang mampu ditanggung perasaannya.

"Ketika itulah jiwa seseorang itu menjadi lemah dan ia mudah dirasuk unsur ghaib seperti makhluk halus atau jin sehingga menyebabkan dia meracau, melolong dan meronta ketakutan atau dikenali sebagai histeria," kata Pengamal Pengubatan Islam Darussyifa', Mohd Fauzi Mustaffa ketika merungkaikan mengenai kejadian histeria.



Membincangkan mengenai histeria sememangnya menimbulkan misteri yang amat membingungkan di kalangan masyarakat terutama tatkala memikirkan sama ada ia sekadar gangguan psikologi biasa atau membabitkan pengaruh unsur mistik dan makhluk ghaib.

Bagi Mohd Fauzi yang pernah berhadapan dan merawat pesakit histeria, gejala itu akibat gabungan gangguan psikologi iaitu tekanan perasaan dan pengaruh unsur ghaib.

"Histeria lebih ketara berlaku apabila pesakit itu berada di kawasan 'kediaman' jin terbabit seperti di dalam hutan, padang atau tepi tasik; pesakit mungkin secara tidak sengaja mengganggu atau merosakkan kawasan rumah makhluk halus terbabit menyebabkan ia marah dan merasuk diri pesakit seterusnya menyebabkan histeria," katanya.

Beliau berkata, apabila histeria berlaku, pesakit tidak lagi sedarkan diri atau mengetahui apa yang mereka lakukan. Mereka akan melolong, menjerit, cemas, nafas tercungap-cungap dan meronta ingin melarikan diri.

"Wajah mereka juga ketakutan seolah-olah ternampak sesuatu yang menyeramkan dan memang mereka dapat melihat makhluk halus itu; mereka juga memiliki kekuatan luar biasa sehingga sampai 10 orang pun tidak dapat mengekang pergerakan mangsa.

"Kekuatan itu berasal daripada makhluk ghaib terbabit malah kadangkala rasukan menyebabkan mereka meracau dengan suara atau bahasa pelik. Mereka tidak sedar apa yang dilakukan ketika histeria menyebabkan apabila pulih, mangsa kelihatan bingung," katanya.

Apabila seseorang itu mengalami histeria, gangguan itu dengan pantasnya akan merebak dan berjangkit kepada rakan atau kelompok manusia yang ada berhampirannya. Ia mampu merebak kerana jin yang mencetuskan histeria itu banyak malah kelompok manusia yang dirasuk juga turut memiliki tahap psikologi sama iaitu turut memendam tekanan dan kebimbangan.


"Terdapat kaedah dalam perubatan Islam mampu memulihkan mereka ini. Sebenarnya, jika tidak dirawat pun pesakit histeria ini mampu pulih dengan sendirinya selepas satu tempoh masa lama apabila jin yang merasuk itu keluar dan pesakit kembali sedar.

"Akan tetapi dia berisiko dirasuk kembali atau mengalami histeria semula; cara terbaik adalah dengan mencegahnya iaitu pesakit perlu tabah menghadapi dugaan hidup, sentiasa reda dengan ketentuan Allah, tidak berputus asa dan lemah semangat serta memperbanyakkan mengingati Allah kerana jiwa yang kosong tanpa mengingati Allah mudah dirasuk syaitan," katanya.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa selain wanita, ada juga lelaki, kanak-kanak atau bayi yang histeria tetapi gejala itu lebih ketara di kalangan wanita kerana golongan itu diciptakan Tuhan sebagai insan yang memiliki fizikal dan emosi yang lemah.

Wanita juga mengalami 'keuzuran' pada setiap bulan menyebabkan mereka tidak dapat beribadat dan lebih terdedah kepada serangan jin dan syaitan tambahan pula darah termasuk darah haid sememangnya menjadi makanan bagi golongan jin.

Bagi pakar psikologi, Profesor Dr Syed Hassan Ahmad Al Mashoor, unsur mistik seperti rasukan jin sememangnya tidak dinafikan wujud sebagai satu daripada punca histeria tetapi masyarakat perlu membezakan antara histeria yang berlaku akibat tekanan perasaan serta konflik emosi dengan histeria akibat rasukan jin.

"Kita tidak boleh nafi pengaruh makhluk halus dalam kehidupan tapi biarlah setiap usaha itu dibuat secara rasional supaya tidak sentiasa menyalahkan satu sebab saja (rasukan jin) dalam kes histeria.

"Jika puncanya berkaitan perubatan seperti penyakit sawan, salah guna dadah seperti ecstasy atau disebabkan penyakit mental seperti skizofrenia, ia dikatakan 'gangguan perubatan' tapi jika puncanya tekanan perasaan dan konflik emosi semata-mata, ia dikatakan 'gangguan psikologi'," katanya.

Dr Syed Hassan berkata, dari perspektif psikologi, histeria lazimnya berpunca dari tekanan emosi berpanjangan yang tidak dapat dibendung lagi malah mangsa kurang mendapat sokongan moral dan material dari keluarga, saudara mara dan rakan-rakan.

"Wanita lebih kerap histeria kerana lebih banyak memendam keresahan dan kemurungan serta tidak meluahkan tekanan emosi mereka. Lelaki pula lebih tabah dan lasak, jika mereka menghadapi stres, mereka ada saluran meluahkan tekanan emosi itu sama ada menerusi kemarahan, perlakuan agresif atau melakukan perkara tidak diingini seperti berjudi," katanya.

Beliau berkata, untuk menghindari histeria, mereka yang bermasalah perlu dikenal pasti seawal mungkin dan diberi bantuan moral bagi meredakan tekanan perasaan dan gangguan konflik yang dialami.

INFO: Histeria

Dari sudut psikologi

Histeria dari sudut kesihatan psikologi ditakrifkan sebagai gangguan kesihatan di mana tahap kesedaran orang yang terbabit berubah dan dia tidak ingat apa yang berlaku. Mangsa menunjukkan perilaku, emosi dan pemikiran yang tidak normal.

Berjangkitnya histeria ke khalayak ramai kerana golongan itu memiliki banyak persamaan seperti corak tekanan sama, contoh murid sekolah dan pekerja kilang; usia sebaya; lazimnya sama jantina. Media massa yang menggembar-gemburkan peristiwa histeria juga turut meningkatkan berlakunya gangguan ini apabila ia turut mempengaruhi tanggapan masyarakat.

Fenomena histeria adalah kesan dari tekanan perasaan dan konflik emosi yang tidak terkawal. Mangsa tidak sedar apa yang berlaku tetapi dengan bantuan dan sokongan moral serta galakkan untuk kembali memuhasabah diri secara lebih realistik dan pragmatik, lazimnya mangsa akan beransur pulih.

Jika terdapat tanda keresahan dan kemurungan, ubatan bagi mengawal tanda itu boleh membantu dan mempercepatkan proses pemulihan serta mencegah berulangnya kejadian histeria. Walau apa pun yang diusahakan, tawakal kepada Allah SWT sahajalah yang akhirnya dapat menentukan segala-galanya.


Dari sudut unsur ghaib

Berbeza dengan saka, santau atau sihir, histeria disebabkan makhluk halus yang tidak bertuan. Kebiasaannya makhluk itu merasuk mangsa bagi membalas perbuatan mangsa yang mengganggu atau merosakkan kediaman mereka seperti di pandang atau hutan.

Jin atau makhluk halus ini merasuk dan mengganggu minda mangsa sehingga menyebabkan mangsa tidak sedar apa yang berlaku dan hilang kawalan diri.

Jenis tekanan yang boleh mencetuskan histeria adalah bimbang keterlaluan (contohnya pelajar yang ingin mengambil peperiksaan); ketegangan terlampau yang tidak diluahkan (mangsa memendam tekanan dan perasaan marah tanpa diluahkan, contohnya mangsa buli atau teraniaya); menghadapi tekanan dalam keluarga yang berpecah belah dan berkonflik sehingga hidup tidak tenang; tekanan tempat kerja; tekanan dalam rumah tangga.

Mereka yang memiliki kekuatan rohani jarang histeria selain kuat beribadat, sabar, tidak berputus asa.

Bayi atau kanak-kanak turut histeria tapi mereka hanya meraung ketakutan dan jari mungkin menunjuk ke arah suatu arah. Lelaki yang histeria pula kelihatan seperti sedang amuk.

Petua apabila berhadapan dengan histeria: asingkan pesakit daripada orang ramai; cuba azankan di telinga pesakit; baca surah al-Fatihah, ayat 115 hingga 116 dari surah al-Mukminun, ayat tiga qul dan tiupkan di telinga dan muka pesakit; jika ada air Yaasin, sapu atau semburkan ke muka pesakit. Apabila pesakit kelihatan sedar, suruh dia mengucap, jika tidak dapat mengucap, maknanya jin itu masih merasuknya. Baca juga doa Nabi Sulaiman supaya didengari pesakit.