Tuesday, November 18, 2008

Serigala jadian wujud




Jasad serigala jadian. (Gambar kecil) Penghidap Hypertrichosis.

Menyalak kepada bulan, membunuh dan memakan daging manusia

PADA 1573, seorang lelaki Perancis, Gilles Garnier dibakar hidup-hidup selepas lebih 50 saksi melihat dia mengoyak badan kanak-kanak dan memakan daging manusia yang dibunuhnya.

Garnier mengaku dia membunuh dan memakan daging lebih empat kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun kerana dia adalah serigala jadian. Menurutnya, dia memperoleh keupayaan untuk bertukar daripada manusia kepada raksasa serigala selepas bertemu dengan syaitan ketika berburu bagi mencari makanan di dalam hutan pada waktu malam.

Syaitan itu memberi krim magis yang membolehkannya bertukar menjadi serigala jadian dan dia mula menculik kanak-kanak serta memakan daging mangsanya itu. Bagaimanapun, tindakan Garnier akhirnya terbongkar selepas beberapa saksi terserempak dengannya yang sedang melakukan perbuatan berkenaan.

Kira-kira 31 tahun kemudian, kes sama turut berulang di Perancis. Seorang remaja, Jean Grenier, 13, mendakwa pernah bertemu dengan syaitan di dalam hutan dan puaka itu memberikannya kulit serigala yang membolehkan jasadnya bertukar menjadi serigala jadian.

Selepas bertukar menjadi serigala jadian, dia berkeliaran pada setiap malam untuk membunuh dan memakan kanak-kanak. Grenier akhirnya dihukum penjara seumur hidup di Biara Fransiskan.

Seterusnya melewati masa, beberapa lagi kes sama dilaporkan di pelbagai tempat di seluruh dunia - manusia membunuh selepas bertukar menjadi serigala jadian. Persoalannya, adakah benar jasad manusia mampu bertukar menjadi raksasa berupa haiwan menggunakan ilmu sihir atau bantuan syaitan?

Kepercayaan mengenai fenomena mistik itu bukanlah suatu perkara baru malah ia sudah berlarutan selama ratusan tahun malah wujud dalam budaya banyak bangsa di dunia ini.

Masyarakat kuno Sepanyol, Portugis dan Brazil misalnya percaya bahawa manusia memang mampu bertukar menjadi serigala. Menurut kepercayaan lama mereka, sekiranya sesebuah keluarga memiliki enam anak perempuan, maka anak ketujuh mereka akan menjadi serigala jadian sekiranya anak itu adalah lelaki.

Di Itali, Perancis dan Jerman pula, wujud kepercayaan bahawa seorang lelaki akan bertukar menjadi serigala jadian sekiranya dia tidur di luar rumah pada malam Rabu atau Jumaat tertentu pada musim panas dan cahaya bulan memancar terus ke wajahnya.

Herodotus iaitu sejarawan Yunani dari abad kelima Sebelum Masihi (SM) pula menceritakan wujud puak Neuri pada zaman dulu yang dapat berubah menjadi serigala jadian selama beberapa hari dalam setahun. Di Malaysia juga turut terdapat kepercayaan yang hampir sama. Manusia kononnya dapat berubah menjadi harimau jadian menggunakan ilmu sihir atau saka.

Teka-teki membingungkan mengenai kesahihan kewujudan serigala jadian menyebabkan penyelidik mula melakukan kajian bagi membongkar misteri terbabit. Akhirnya selepas lama mengkaji, mereka akhirnya mengakui bahawa fenomena manusia bertukar kepada serigala sememangnya wujud!

Akan tetapi, keadaan sebenarnya bukanlah jasad manusia itu bertukar menjadi seakan serigala dengan wajah bengis dan ganas, badan berbulu serta memiliki taring dan kuku tajam.

Sebaliknya, manusia terbabit sekadar berkelakuan seperti haiwan termasuk menyalak kepada bulan, merangkak dan merayau di tanah perkuburan pada waktu malam malah sanggup membunuh dan memakan daging manusia lain.

Perlakuan aneh itu diklasifikasikan penyelidik sebagai satu daripada penyakit mental luar biasa yang dikenali sebagai ‘lycanthropy’ dan penyelidik percaya kes membabitkan serigala jadian seperti dialami Jean Grenier dan Gilles Garnier sebenarnya berpunca daripada lycanthropy.

Pengarang buku ‘Penyakit Mental Luar Biasa’, Richard Noll ketika mengulas penyakit itu berkata: “Seseorang yang mengalaminya percaya bahawa mereka sesungguhnya menjadi serigala, ditumbuhi bulu dan kuku yang tajam.”

Selain sindrom lycanthropy, penyelidik percaya bahawa cerita mengenai serigala jadian mungkin berasal daripada sejenis penyakit genetik dikenali sebagai Hypertrichosis yang menyebabkan hampir keseluruhan jasad penghidapnya ditumbuhi bulu sehinggakan penampilan luaran seseorang itu seakan-akan serigala.

Maka tidak mustahil terdapat penduduk zaman dulu yang menghidap Hypertrichosis dan kewujudan mereka dengan jasad dipenuhi bulu itu kemudian disalah anggap masyarakat sebagai serigala jadian. Seterusnya salah tanggapan itu berkembang melewati masa sehingga momokan kewujudan serigala jadian terus menjadi popular dan diminati ramai pada hari ini.

INFO: Serigala jadian

Rekod kepercayaan terawal mengenai kisah serigala jadian dikatakan bermula pada 1550 SM iaitu Raja Lycaon dari Arcadia mempersembahkan daging manusia kepada dewa Zeus menyebabkan dia dihukum menjadi serigala atas kesalahan itu.

Antara 1520 hingga 1630 di Perancis, terdapat lebih 30,000 rekod kes membabitkan penduduk yang mendakwa mereka adalah serigala jadian.

Dilaporkan, seorang daripada 340 juta penduduk dunia menghidap Hypertrichosis.

Sunday, November 2, 2008

Mangsa pasir jerlus akan lebih cepat 'disedut' jika meronta.
Sekolah Rendah Agama Hidayahtul Mustaqimah Taman Beringin, di ibu negara runtuh akibat pasir jerlus pada 12 April 2006

Tragedi pada 7 Jun 1962 lenyapkan satu pertiga daripada pekan Port Royal di Jamaica

SEKITAR jam 11.40 pagi pada 7 Jun 1692, bandar pelabuhan Port Royal di Jamaica tiba-tiba dilanda gegaran teramat kuat. Selepas gegaran itu berhenti, bandar berkenaan mula tenggelam ke dalam tanah sehingga menyebabkan satu pertiga kawasan kotanya lenyap dan 2,000 penduduknya hilang ditelan pasir jerlus.
Tragedi menggemparkan itu diceritakan saksi, Sir Hans Sloane: “Gegaran teramat kuat itu menenggelamkan sembilan hingga 10 kawasan pekan Port Royal dalam masa dua minit manakala bangunan di tepi dermaga pula tenggelam dalam masa kurang seminit.”
Lebih menakutkan adalah dalam tempoh singkat juga, pasir jerlus dahsyat itu menelan ribuan penduduk bandar berkenaan dan kejadian menyeramkan itu digambarkan seorang saksi lain: “Gegaran dahsyatnya menyebabkan pasir merekah dan penduduk mula ‘ditelan’ ke dalamnya.”
Bencana di Port Royal pada 1692 itu terus dikenang sebagai tragedi pasir jerlus paling dahsyat dalam sejarah dunia kerana sebelum ini, pasir jerlus sering dimomokan sekadar menelan manusia dan berlaku pada kawasan terhad saja.
Akan tetapi, tragedi pada 1692 itu membuktikan bahawa kedahsyatan pasir jerlus menyebabkan ia mampu menelan sebuah kota besar dan ribuan mangsa sekali gus! Cerita mengenai pasir jerlus sering menjadi antara momokan popular sehingga kini.
Di tangan pengiat kreatif atau sutradara filem, pasir jerlus digambarkan seakan-akan ‘raksasa atau makhluk hidup’ yang menunggu penuh sabar untuk menjerat dan memerangkap mangsanya. Mangsa yang melalui di atasnya kemudian akan ditelan ke dasar tidak berpenghujung dengan kejam dan sadis.
Ketika dalam lawatannya ke Iran, seorang penyelidik pasir jerlus dari Universiti Amsterdam, Belanda iaitu Daniel Bonn pernah menemui seorang pengembala tempatan yang menunjukkan satu kawasan pasir jerlus dan menceritakan satu kisah menakutkan kepadanya.
Menurut Si pengembala itu, pernah ada unta yang berjalan di atas pasir jerlus itu dan terperangkap di atasnya. Unta itu meronta-ronta tetapi ia kemudian hilang ditelan ke dalam pasir itu sehingga tidak meninggalkan sebarang berbekas.
Pasir jerlus dipercayai turut menelan mangsanya di Malaysia antaranya pada 22 Jun lalu, dilaporkan empat kanak-kanak bersaudara, lemas selepas memijak pasir jerlus di Kampung Bangau Tanjung, berhampiran Sungai Pahang.
Walaupun ramai mangsa sudah menjadi korban pasir jerlus, hakikatnya ia bukanlah raksasa hidup yang menjerat serta menelan mangsanya dengan kejam. Sebaliknya, seperti juga kejadian banjir, kilat ataupun taufan, pasir jerlus sebenarnya hanyalah satu fenomena alam yang penuh bahaya.
Pada dasarnya, pasir jerlus terjadi apabila kawasan tanah atau pasir bercampur dengan air sehingga menyebabkan kekejapannya ikatan antara butiran pasir itu berkurang dan ia tidak mampu lagi menahan beban tertentu.
Pasir jerlus boleh terhasil menerusi dua cara antaranya menerusi pergerakan air di bawah tanah yang meresap ke dalam struktur tanah seperti di tepi sungai atau pantai selain akibat gempa bumi iaitu apabila gegaran berlaku, ia meningkatkan tekanan air bawah tanah di kawasan cetek yang kemudian meresap ke dalam pasir sehingga menjadi larut.
Dalam tragedi di Port Royal pada 1692, gempa bumi yang berlaku menyebabkan air dari laut meresap ke dalam pasir pantai yang menampung kota itu dan menukarkan pasir kejap itu menjadi pasir jerlus sebelum menengelamkan kawasan bandar terbabit bersama 2,000 penduduknya.
Kajian penyelidik mendapati daya tarikan pasir jerlus juga amat besar. Pengiraan penyelidik mendapati untuk menarik keluar seseorang yang terperangkap dalam pasir jerlus yang menyedut pada kecepatan satu sentimeter perdetik, ia memerlukan kekuatan 100,000 Newton untuk menarik mangsa itu keluar sebanyak 0.3 meter. Kekuatan itu setara dengan kekuatan seseorang mengangakat sebuah kereta.
Bagaimanapun, penyelidik mendapati faktor kecepatan sesuatu objek ditelan pasir jerlus bergantung kepada kepadatan objek terbabit. Kajian mendapati kepadatan pasir jerlus umumnya adalah 2 gram permililiter manakala kepadatan manusia adalah 1 gram permililiter.
Justeru, jika seseorang yang terperangkap di dalam pasir jerlus, mangsa akan lebih cepat tenggelam jika dia meronta. Sebaliknya jika mangsa bertenang dan tidak bergerak, jasadnya akan terapung perlahan-lahan.
"Keadaan yang paling berbahaya adalah apabila pasir jerlus cenderung menarik dengan cepat, tapi kesabaran dapat menyelamatkan anda. Jika ditunggu dengan sabar, partikel pasir lambat laun akan stabil sehingga daya apung campuran itu akan mengangkat anda ke atas.
“Kami mengetahui bahwa lapisan pasir di bawahnya lebih rapat sedangkan air lebih banyak di lapisan atas. Lapisan pasir yang sangat pekat di bawah sangat sedikit mengandung air sehingga sulit melepas kaki yang terperosok ke dalamnya,” kata Bonn.
INFO: Mangsa pasir jerlus di Malaysia
2 Mac 2007: Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut selepas tenggelam di lagun apabila disedut pasirjerlus ketika mencari kepah bersama keluarganya di Pantai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.
19 Februari 2007: Seorang datuk dan cucunya lemas dipercayai akibat pasir jerlus ketika memukat ikan di pesisir Pantai Beraya, Bekenu, dekat Miri, Sarawak.
1 Julai 2005: Lima sekeluarga hampir lemas selepas ditelan pasir jerlus di Pantai Semerak, Pasir Putih, Kelantan. Semua mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan walaupun seorang koma dan seorang lagi cedera.
10 Februari 2005: Enam mangsa maut akibat lemas selepas terperangkap dalam pasir jerlus di Sungai Pahang.